Dragonball Online Mouse Pointer Blue

Pages

Followers

11 December 2010

NIKMAT: DIANTARA SYUKUR DAN KUFUR




1. KEWAJIPAN SYUKUR
Amat wajar bahawa setiap manusia itu sentiasa ingat dan bersyukur atas segala nikmat Allah yang dikurniakan pada dirinya. Sebaliknya amat biadap sekali bilamana ia melupai dan mengkufuri segala nikmat yang diterimanya dari Allah selama ini.

2. SEMUA NIKMAT DARINYA
Apa tidaknya. Bukankah segala nikmat Allah itu melingkungi dan meliputi segenap ruang diri dan setiap inci tubuh kita? Bukankah semua nikmat itu diberikan secara percuma tanpa sebarang tuntutan bayaran? Nun, saksikanlah! Bermula dari hujung rambut di bahagian atas sampailah ke telapak kaki di bahagian bawah. Sebanyak manapun nikmat Tuhan yang mampu kita sebut dan senaraikan, maka ingatlah bahawa semuanya adalah kurniaan dariNya.

3. MENSYUKURI BUKANNYA MENGHITUNGI
Sekuat mana pun kita cuba menghitung segala nikmat Allah itu, nescaya kita akhirnya akan pancit keletihan, lelah kepenatan dan terkulai kelayuan di pertengahan jalan kerana sememangnya kita semua ‘selamanya’ tak mampu dan berdaya untuk menghitung jumlahnya sekalipun maut telah hadir menjelma di depan mata. Firman Allah swt: “Sekiranya kamu cuba menghitung-hitung nikmat Allah, nescaya kamu tidak mampu untuk menghitungnya.”(Surah Ibrahim: ayat 34).

4. HITUNGLAH KESYUKURANMU!
Usah bertanya dan menghitung berapa banyakkah jumlah nikmat Allah atas diri kita? Sebaliknya bertanya dan bermuhasabahlah berapa banyakkah jumlah kesyukuran yang telah kita kembalikan kepadaNya?

5. SAAT TERIMA NIKMAT, INGATLAH PEMBERI NIKMAT
Betapa besar kurniaan Allah swt. Perhatikanlah di sekeliling kita. Sedar ataupun tidak, dunia dan segala isinya ini telah dianugerahkan kepada kita supaya dijaga dan ditadbirnya dengan sepenuh rasa syukur dan beramanah. Hakikat yang nyata berlaku adalah, segala nikmat Allah yang terbentang di depan mata telah kita kutip dan raup semahu-mahunya, namun kita tidak pernah ‘ambil pusing’ bahkan lenyap kesedaran bahawa semua yang kita terima baik yang zahir mahupun yang batin, yang hissi ataupun maknawi adalah pemberian Allah, pemilik mutlak segala anugerah dan nikmat itu.
Firman Allah SWT: “Dia telah memberikan nikmat-nikmatNya secara sempurna kepada kalian, baik yang zahir mahupun yang batin.” (Surah Luqman: 20).

6. NIKMAT: AMANAH+TANGGUNGJAWAB+DUGAAN
Panca indera yang kita guna pakai dan ambil manfaatnya adalah anugerah Dia. Akal fikiran yang membezakan kita dari haiwan melata adalah kurniaan Dia. Ilmu dan kepandaian adalah anugerahNYa. Isteri dan anak-anak adalah anugerah Dia bahkan amanah dariNya. Kesihatan dan masa lapang adalah pemberian Dia. Umur, masa, harta kekayaan adalah pemberian dan amanah dariNya. Pangkat, kuasa, nama dan kemahsyuran adalah nikmat sekaligus dugaan dariNya. Iman dan Islam adalah nikmat juga anugerah paling berharga darinya yang tidak dapat dibandingkan dengan apa jua nikmat lain yang kita terima.

Bukalah seluas-luasnya.. mata kasar dan mata hati kita untuk meyaksikan limpahan 'Anugerah' ini agar kita menjadi hamba yang bersyukur. Bukannya hamba yang kufur. Firman Allah: “Maka nikmat Tuhan kalian yang manakah yang sering anda dustakan?” (Surah Ar Rahman: 13).


No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...