Dragonball Online Mouse Pointer Blue

Pages

Followers

15 January 2012

Siapakah pembina Masjid al-Aqsa???

Tidak terfikirkah kita siapakah jurutera Masjid suci Aqsa di Palestin ? Siapakah yang bertanggungjawab membinanya ? Bolehkah kita ruangkan sedikit waktu mencari siapakah jurutera tersebut ? atau kita terlalu sibuk ? Tidak mengapa , Maszlee Malik telah pun merintis jalan, sediakan retina anda sahaja menyusuri jawapannya …

Kaum Zionis telah sampai ke kemuncak usaha mereka untuk merobohkan masjid al-Aqsa. Masjid yang merupakan kiblat pertama umat Islam, masjid ketiga suci umat Islam dan juga tempat Israk dan Mikraj Rasulullah SAW kini berada di ambang bahaya. Bila-bila masa sahaja, bila-bila saat sahaja, bila-bila waktu sahaja, kaum Zionis akan merobohkan Masjid al-Aqsa dan membina kuil (Haykal) mereka di atas runtuhan tersebut. Sayangnya majoriti umat Islam masih naif dan jahil terhadap bahaya yang menantikan Masjid al-Aqsa ini.

Artikel ini ditulis demi meniti usaha yang kini hebat dilakukan oleh “Syeikh al-Aqsa”, Raed Salah, pemimpin Gerakan Islam di bumi Palestin 1948 untuk menyedarkan umat Islam tentang bahaya bahaya yang menantikan al-Aqsa. Kempen “al-Aqsa fi Khatar” yang dilancarkan oleh beliau telah dapat menyedarkan sebilangan daripada umat Islam tentang bencana yang bakal menimpa al-Aqsa dari makar kaum Zionis.

Sayangnya di Malaysia ini kempen ini tidak begitu dirasakan, mungkin kerana umat Islam di Malaysia terlalu sibuk mengirim SMS untuk AF 3, atau juga sibuk menjadi pengadil untuk Malaysia Idol ataupu menjadi penonton-penonton setia rancangan-rancangan hiburan realiti yang mekar bagaikan cendawan lepas hujan di saluran-saluran TV di Malaysia. Maka artikel ini dan artikel-artikel yang pernah dicoretkan oleh penulis sebelum ini diharapkan dapat menjadi penyambung usaha Raed Salah di bumi Malaysia ini, Insha Allah…

Masjid yang dijanjikan 500 pahala apabila bersolat ini kian pupus dalam ingatan umat Islam


Siapakah pembina atau yang telah membina masjid al-Aqsa?, satu soalan yang menarik dan amat penting. Bagi kaum Yahudi, mereka beriman bahawa Daud A.S pernah bercita-cita untuk membina masjid al-Aqsa yang mereka katakan sebagai haykal atau kuil (di dalam bahasa Hebrew dipanggil sebagai HaMikdash), tetapi telah dihalang oleh Tuhan Yahweh. Tuhan Yahweh menghendakkan Sulaiman A.S. untuk mendapatkan kemuliaan tersebut, maka menurut tanggapan mereka, Sulaimanlah pembina Haykal atau kuil tersebut. Ini dapat dilihat di dalam Old Testament yang sama diimani oleh orang-orang Yahudi dan orang-orang Kristian di dalam buku Kings (1) 6: 1 sehingga 38, ataupun lebih terperinci lagi di dalam buku Kings (1) 6:14 yang berbunyi: “So Solomon built the temple and completed it”.

Inilah juga yang diimani oleh penganut agama Kristian yang turut berpegang kepada Old Testament (kitab perjanjian lama) atau Torah menurut panggilan orang Yahudi.

Bagaimanakah pula pendirian kaum muslimin?, memang ada diceritakan di dalam al-Quran tentang pembinaan bangunan yang kemudiannya diambil menjadi masjid al-Aqsa oleh Sulaiman dengan menggunakan tenaga para jin.

Persoalannya adakah itu menunjukkan Islam juga mengiktiraf sejarah yang diriwayatkan di dalam Old Testament?, jawapannya tidak!. Sulaiman A.S. hanyalah membina semula bangunan masjid setelah bangunan asalnya telah roboh samada kerana berlalunya waktu ataupun bencana alam yang telah menimpa kawasan tersebut. Sebagai umat Islam, sudah tentulah al-Quran dan hadis-hadis yang sahih sahaja menjadi rujukan kita di dalam persoalan ghaibiyat seperti ini.

Dalil-dalil berkaitan

Berikut adalah dalil-dalil yang menceritakan tentang siapakah yang membina masjid al-Aqsa dan bilakah ianya telah dibina…

1) Hadis al-Bukhari yang berbunyi :


Abu Dzar telah meriwayatkan: saya telah bertanya kepada Rasulullah SAW: “Apakah masjid yang pertama dibina di atas muka bumi ini?, Rasulullah SAW menjawab: “Masjid al-Haram”, saya bertanya lagi: “kemudiannya…”, balas Rasulullah SAW: “Masjid al-Aqsa”. Saya bertanya lagi: “Berapakah jarak di antara keduanya (tempoh dibina kedua-duanya), balas Rasulullah SAW: “empat puluh tahun, di mana sahaja kamu dapat bersolat pada keduanya, maka bersolatlah (di sana), di sana ada kelebihan (untuk mereka yang bersolat di kedua-dua masjid tersebut)”.

Anak muda bermati?an membela masjid Aqsa, dimana anak muda Islam di Malaysia ?


Jelas di dalam hadis di atas, ianya menunjukkan bahawa masjid yang pertama dibina ialah masjid al-Haram di Makkah dan kemudiannya dibina pula masjid al-Aqsa selepas empat puluh tahun terbinanya masjid al-Haram. Persoalannya di sini siapakah yang telah membina Masjid al-Haram dan siapakah yang membina masjid al-Aqsa?

Menurut kefahaman kebanyakan umat Islam, Nabi Ibrahimlah yang telah mebina masjid al-Haram berdasarkan ayat 128 di dalam surah al-Baqarah yang berbunyi: “Dan ketika Ibrahim mengangkat dasar al-Bait (al-Haram atau Kaabah) dan Ismail …”.

Manakala masjid al-Aqsa pula menurut kefahaman ramai orang, ianya dibina oleh Sulaiman. Persoalannya, jarak di antara Ibrahim A.S dengan Sulaiman A.S adalah lebih kurang 750 tahun, dan bukannya 40 tahun seperti yang telah disebutkan oleh hadis Abu Dzar yang sahih. Maka, siapakah yang telah membina masjid al-Aqsa ???. Berhubung persoalan ini, penulis telah menemukan dua pendapat paling kuat di dalam menjelaskan siapakah yang telah membina masjid al-Aqsa.

Pendapat pertama: Ibrahim A.S.lah yang telah membina masjid al-Aqsa. Menurut mereka yang berpendapat dengan pendapat ini, mereka mengatakan bahawa Ibrahim telah membina masjid al-Aqsa 40 tahun selepas baginda selesai membina masjid al-Haram. Pendapat ini telah dikemukakan oleh Dr. Solah Abd Fatah al-Khalidi di dalam bukunya “Haqaa iq Quraniyyah Hawla Masjid al-Aqsa Wa Bayt al-Maqdis” (Lihat: al-Khalidi, Solah A Fatah(1993), Haqaa iq Quraniyyah Hawla Masjid al-Aqsa Wa Bayt al-Maqdis, London: Mansyurat Filistin al-Muslimah, hal. 44 – 53). Pendapatnya ini telah disokong oleh Dr. Ibrahim al-Ali (Lihat: Ali, Ibrahim (1995), al-Ardh al-Muqaddasah: Bayna al-Madhi wa al-Hadhir wa al-Mustaqbal, London: Mansyurat Filistin al-Muslimah, hal. 80).

Rakyat Palestin syahid di muncung senapang rejim Zionis, kita syahid di depan TV !!


Persoalan yang timbul di sini, tidak terdapat satu dalil pun, samada di dalam al-Quran mahupun dari hadis-hadis sahih yang menunjukkan perkara tersebut. Oleh kerana persoalan ini merupakan persoalan fakta sejarah, maka ianya memerlukan kepada dalil yang kukuh, dan pendapat ini hanyalah membawa andaian tanpa merujuk kepada mana-mana dalil yang sahih.

Malah penafsiran bahawa Ibrahimlah manusia yang pertama membina Masjid al-Haram berdasarkan ayat 126 dari surah al-Baqarah juga adalah tidak kuat. Ini kerana berdasarkan ayat 37 di dalam surah Ibrahim, jelas Allah SWT telah merakamkan kata-kata Ibrahim “Tuhan kami, aku telah tinggalkan keturunanku (Ismail) di wadi yang tiada tumbuhan, di sisi RUMAHMU yang mulia”.

Ayat ini dengan jelas menunjukkan bahawa tapak Masjid al-Haram itu telah dimuliakan dan sememangnya telah wujudnya sebelum Ibrahim menaikkan binaan Masjid al-Haram (buat kali keduanya) lagi. Ini kerana, Ibrahim telah menaikkan binaan itu (seperti yang telah disebutkan di dalam al-Baqarah ayat 126) bersama Ismail ketika Ismail telah besar dan bukannya sewaktu beliau ditinggalkan di bumi Mekkah. Al-Qurtubi di dalam buku tafsirnya, “al-Jaami’ Li Ahkam al-Quran” juga telah menyatakan perkara yang sama. Menurut beliau, masjid al-Haram telah dibina sebelum taufan Nuh, dan kemudiannya musnah bahana taufan yang amat dahsyat itu. (Lihat: al-Qurtubi (mati 671H) (1372H), al-Jaami’ Li Ahkam al-Quran, Kaherah: Dar al-Sya’ab, cetakan kedua, j. 9, hal. 371). Kenyataan ini juga disokong oleh hadis yang diriwayatkan secara panjang oleh Ibn Abbas secara marfu’ di dalam Sahih al-Bukhari mengenai keadaan Ibrahim meninggalkan isterinya Hajar dan anaknya Ismail di tapak masjid al-Haram yang beliau sendiri tidak tahu ianya tapak masjid dan kemudiannya beliau akan diperintah untuk menaikkan bangunan untuk masjid tersebut apabila Ismail telah besar.

Pendapat ini juga telah disokong oleh Ibn Hajar al-Asqalani di dalam bukunya Fath al-Baari syarh Sahih al-Bukhari. Beliau telah meriwayatkan hadis yang bertaraf hassan daripada Abdullah bin ‘Amru bin al-’As yang telah mengatakan: “Para Anbiya (nabi-nabi) telah menunaikan haji di al-Bait (masjid al-Haram), dan manusia tidak mengetahui di manakah tempat tersebut sehinggalah Ibrahim membinanya semula dan menunjukkan kepada mereka kedudukan tempat tersebut). Ibn Hajar juga telah menguatkan pendapatnya dengan riwayat yang sama daripada al-Bayhaqi di dalam al-Dalaail. (Lihat: al-Asqalani, Ibn Hajar(mati 773H) (1379H), Fath al-Baari, Beirut: Daar al-Ma’rifah, j. 6, hal. 302).

Persoalan yang timbul, maka siapakah pembina Masjid al-Aqsa, ataupun siapakah pula pembina Masjid al-Haram jika bukan Ibrahim A.S.???

Untuk menjawab persoalan ini, kita perlu melihat pula kepada pandangan kedua mengenai siapakah pembina Masjid al-Aqsa dahulu.

Pendapat kedua: yang mungkin tidak begitu popular suatu waktu dahulu, tetapi kini menjadi pilihan ramai dari kalangan pengkaji sejarah Islam dan juga di kalangan para ulama mengatakan, Masjid al-Aqsa telah dibina oleh Nabi Adam A.S. Binaan yang telah dibina oleh Adam A.S. ini kemudiannya telah musnah akibat taufan di zaman Nuh dan hanya dibina kembali oleh Ibrahim.

Dalil mereka:

1.

Hadis panjang di dalam al-Bukhari riwayat Ibn Abbas yang menunjukkan bahawa Ibrahim A.S. bukanlah membina kaabah seperti yang didakwa, tetapi membina semula bangunan masjid di tapak masjid al-Haram yang telah musnah akibat taufan Nuh A.S.
2.

Hadis-hadis bertaraf Hassan yang diriwayatkan oleh Ibn Hajar dan al-Bayhaqi seperti yang telah disebutkan sebelum ini yang menunjukkan bahawa masjid al-Haram pernah wujud, dibina oleh Adam A.S., menjadi tempat para Anbiya mengerjakan haji dan akhirnya musnah oleh taufan Nuh A.S. (Ibn Hajar, ibid.)
3.

Hadis riwayat Abd Razzaq di dalam Musannaf beliau, yang telah mengatakan bahawa Adam adalah manusia pertama yang telah membina kaabah. (Ibn Hajar, ibid.)
4.

Hadis dari riwayat Abdul Wahab bin Munabbih yang menyatakan perkara yang sama juga. (Ibn Hajar, ibid.)
5.

Hadis mengenai zam-zam yang panjang di dalam al-Sunan al-Kubra oleh al-Nasaai, di mana di dalam hadis tersebut malaikat telah memberitahu Hajar tentang air zam-zam dan tapak tersebut merupakan masjid al-Haram telah mengatakan: “Janganlah kamu takut kamu akan kehilangan, di sinilah Baitullah, ANAK ini dan bapanya akan membina (semula)…”. Apabila malaikat mengatakan sedemikian, ini menunjukkan masjid al-Haram ataupun Bait al-haram sememamngnya telah wujud sebelum Ibrahim membinanya buat kali kedua. (Lihat: al-Nasaai (mati 303H) (1991M), al-Sunan al-Kubra, Bairut: Dar al-Marifah, cetakan pertama, j. 5, hal. 100). Hadis yang sama juga diriwayatkan oleh Abdul Razak di dalam Musannaf (Abdul Razaq, al-Musannaf, j.5 hal. 106).

Arghhhh ! Lepaskan aku !!!


Persoalan yang timbul kini, siapakah pula yang membina Masjid al-Aqsa?, jika dilihat kepada hadis Abu Dzar, ternyata Masjid al-Aqsa dibina 40 tahun selepas Masjid al-Haram. Berhubung dengan persoalan ini, Ibn Hajar telah membawakan beberapa andaian, tetapi di akhirnya beliau telah memilih pendapat Ibn Hisyam di dalam bukunya al-Tijaan (dan juga pendapat ulama-ulama lain seperti al-Bayhaqi, Abdul Razzaq, Wahab ibn Munabbih dan lain-lain) yang mengatakan Adamlah yang telah membina Masjid al-Aqsa kerana tempoh waktu 40 tahun pembinaan al-Aqsa selepas Masjid al-Haram adalah lebih dekat dengan Adam A.S. berbanding dengan orang-orang lain. (Lihat: Ibn Hajar, Fath al-Baari, j. 6, hal. 409)

Kesimpulannya, Masjid al-Aqsa telah dibina oleh nabi Adam A.S. ataupun anak-anaknya beribu tahun sebelum Sulaiman membinanya semula buat kali kedua. (Lihat: Syurab, Muhammad Hassan (1994M), Baytul Maqdis Wa al-Masjid al-Aqsa: Dirasat Tarikhiyyah Muwattahaqah, Damsyik: Dar al-Qalam, hal. 301)

2) Hadis-hadis riwayat al-Nasaai dariapada Abdullah bin Amru bin ‘Aas dengan sanad yang pelbagai telah menyatakan bahawa Sulaiman bin Daud adalah orang yang pertama membina Masjid al-Aqsa. Antara petikan dari hadis tersebut, Sulaiman A.S. telah berdoa kepada Tuhan setelah selesai membina masjid al-Aqsa telah berdoa kepada Allah tiga perkara, antaranya ialah barangsiapa yang bersolat di masjid tersebut akan diampunkan dari dosa-dosanya yang lalu …”

Hadis-hadis ini walaupun sahih, tetapi dari segi makna, ianya bertentangan dengan hadis Abu Dzar yang lebih sahih. Oleh yang demikian, kebanyakan ulama mentafsirkannya sebagai pemberitahuan bahawa Sulaiman telah menaikkan semula binaan masjid al-Aqsa dan bukannya membinanya buat kali pertama.

3) Hadis-hadis riwayat al-Bayhaqi, al-Hakim, dan lain-lain ulama hadis di dalam kitab-kitab mereka yang mengatakan Daud A.S. merupakan orang yang pertama membina Masjid al-Aqsa.

Hadis-hadis ini, sepertimana yang telah diterangkan oleh Muhammad Hassan Syurab, samada bersifat Dhaif, Maudhuk, munkar dan lemah dari segenap sudut serta bersumberkan Israeliyyat dan secara jelas bertentangan dengan hadis Abu Dzar yang jauh lebih sahih. (Lihat: Syurab, op.cit., hal. 301-303)

Kesimpulan

Kebanyakan hujah-hujah mereka yang mengatakan bahawa Nabi Sulayman merupakan orang yang awal membina masjid al-Aqsa adalah tidak kuat dan tidak bersandarkan dalil-dalil yang kuat. Manakala hadis-hadis yang menceritakan bahawa Nabi Daud membinanya pula merupakan hadis-hadis yang lemah. Satu-satu hadis yang paling sahih dan kuat di dalam menceritakan tentang pembinaan Masjid al-Aqsa adalah hadis Abu Dzar riwayat al-Bukhari. Berdasarkan hadis ini dan juga hadis-hadis lain yang mentafsirkannya, dapat kita simpulkan bahawa orang yang pertma membina Masjid al-Aqsa adalah Nabi Adam A.S.

 sumber: http://palestinkini.info/?p=729

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...