Dragonball Online Mouse Pointer Blue

Pages

Followers

26 November 2011

SEJARAH PENGUMPULAN AL-QURAN PADA ZAMAN KHALIFAH USMAN. ( nota ppismp )

SEJARAH PENGUMPULAN AL-QURAN PADA ZAMAN KHALIFAH USMAN.

           Pada zaman usman , penyebaran Islam bertambah dan para qurra pun tersebar di berbagai-bagai wilayah, dan penduduk di setiap wilayah itu mempelajari qira'at (bacaan) dari qari yang dikirimkan kepada mereka. Cara-cara pembacaan (qiraat) al-Quran yang mereka bawakan berbeza-beza dengan perbezaan 'huruf '  dengan al-Quran diturunkan. Apabila mereka berkumpul disuatu pertemuan atau disuatu medan peperangan, sebahagian mereka merasa hairan dengan adanya perbezaan qiraat ini. Terkadang sebahagian mereka merasa puas, kerana mengetahui bahawa perbezaan-perbezaan itu semuanya disandarkan kepada Rasulullah. Tetapi keadaan demikian bukan bererti tidak akan  mempunyai keraguan kepada generasi baru yang tidak melihat Rasulullah sehingga terjadi perbicaraan bacaan mana yang elok dan mana yang tidak elok. Dan pada gilirannya akan menimbulkan dan saling bertentangan apabila terus tersebar. Bahkan akan menimbulkan permusuhan dan perbuatan dosa. Fitnah yang demikian ini harus segera diselesaikan.

            Ketika terjadi perang Armenia dan Azarbaijan dengan penduduk Iraq, di antara orang yang ikut menyerbu kedua tempat itu ialah Huzaifah bin al-Yaman. Beliau  banyak melihat perbezaan dalam cara-cara membaca al-Quran. Sebahagian bacaan itu bercampur dengan kesilapan, tetapi masing-masing mempertahankan dan berpegang pada bacaannya, serta menentang setiap orang yang menyalahi bacaannya dan bahkan mereka saling mengkafirkan di antara satu sama lain. Melihat kenyataan demikian Huzaifah segara menghadap Usman dan melaporkan kepadanya apa yang telah dilihatnya. Usman juga memberitahu kepada Huzaifah bahawa sebahagian perbezaan itu pun akan terjadi pada orang-orang yang mengajarkan Qiraat pada anak-anak. Anak-anak itu akan lahir, sedangkan diantara mereka terdapat perbezaan dalam qiraat. Para sahabat amat perihatin akan kenyataan ini kerana takut kalau-kalau perbezaan itu akan menimbulkan penyimpangan dan perubahan. Mereka bersepakat untuk menyalin lembaran-lembaran yang pertama yang ada pada Abu Bakar dan menyatukan umat islam pada lembaran-lembaran itu dengan bacaan tetap pada satu huruf.

          Usman kemudian mengirimkan utusan kepada Hafsah (untuk meminjamkan mushaf Abu Bakar yang ada padanya) dan Hafsah pun mengirimkan lembaran-lembaran itu kepadanya. Kemudian Usman memanggil Zaid bin Thabit al-Ansari, Abdullah bin Zubair, Said bin 'As, dan Abdurrahman bin Haris bin Hisyam. Ketiga orang terakhir ini adalah orang Quraisy, lalu memerintahkan mereka agar menyalin dan memperbanyak mushaf, serta memerintahkan pula agar apa yang diperselisihkan Zaid dengan ketiga orang quraisy itu ditulis dalam bahasa Quraisy, kerana al-Quran turun dengan lohgat mereka.

         
          Mereka melakukan perintah itu. Setelah mereka selesai menyalinnya menjadi beberapa mushaf, Usman mengembalikan lembaran-lembaran asli itu kepada Hafsah. Kemudian Usman mengirimkan kesetiap wilayah mushaf baru tersebut dan memerintahkan agar semua al-Quran atau mushaf selainnya dibakar. Beberapa naskhah yang kemudiannya dihantar ke Makkah, Syria, Basrah, Kufah dan satu lagi disimpan oleh Usman sendiri. Zaid berkata, "Ketika kami menyalin mushaf, saya teringat akan satu ayat dari surah al-Ahzab yang pernah aku dengar dibacakan oleh Rasulullah; maka kami mencarinya, dan aku dapatkan pada Khuzaimah bin Sabit al-Ansari, ayat itu ialah:

"Di antara orang-orang mu'min itu ada orang-orang yang menepati apa yang telah mereka janjikan kepada Allah." (al-Ahzab: 23)

lalu kami tempatkan ayat ini pada surah tersebut dalam mushaf."

        

Dikatakan oleh Ibn Jarir: 'Ya'kub bin Ibrahim berkata kepadaku: Ibn 'Ulyah menceritakan kepadaku: Ayyub mengatakan kepadaku: bahawa Abu Qalabah berkata: Pada masa kekhalifahan Usman telah terjadi seorang guru qiraat mengajarkan qiraat kepada seseorang, dan guru qiraat lain mengajarkan qiraat pada orang lain. Dua kelompok anak-anak yang belajar qiraat itu suatu ketika bertemu dan mereka berselisih, dan hal demikian ini menjalar juga kepada guru-guru tersebut.' Kata Ayyub: aku tidak mengetahui kecuali ia berkata: 'sehingga mereka saling mengkafirkan satu sama lain kerana perbezaan qiraat itu,' dan hal itu akhirnya sampai pada khalifah Usman. Maka ia berpidato: 'Kalian yang ada di hadapanku telah berselisih faham dan salah dalam membaca al-Quran. Penduduk yang jauh dari kami tentu lebih besar lagi perselisihan dan kesalahannya. Bersatulah wahai sahabat-sahabat Muhammad, tulislah untuk semua orang satu imam (mushaf al-Qur'an pedoman) saja!'

        Abu Qalabah berkata: Anas bin Malik bercerita kepadaku, katanya : 'Aku adalah salah seorang di antara mereka yang disuruh menuliskan,' kata Abu Qalabah: Terkadang mereka berselisih tentang satu ayat, maka mereka menanyakan kepada seseorang yang telah menerimanya dari Rasulullah. Akan tetapi orang tadi mungkin tengah berada di luar kota, sehingga mereka hanya menuliskan apa yang sebelum dan yang sesudah serta membiarkan tempat letaknya, sampai orang itu datang atau dipanggil. Ketika penulisan mushaf telah selesai, Khalifah Usman menulis surat kepada semua penduduk daerah yang disisinya: 'Aku telah melakukan yang demikian dan demikian. Aku telah menghapuskan apa yang ada padaku, maka hapuskanlah apa yang ada padamu.'

         Ibn Asytah meriwayatkan melalui Ayyub dari Abu Qalabah, keterangan yang sama. Dan Ibn Hajar menyebutkan dalam al-Fath bahawa Ibn Abu Daud telah meriwayatkannya pula melalui Abu Qalabah dalam al-Masahif.

         Suwaid bin Gaflah berkata: 'Ali mengatakan: 'Katakanlah segala yang baik tentang Usman. Demi Allah apa yang telah dilakukannya mengenai mushaf-mushaf al-Quran sudah atas persetujuan kami. Usman berkata : 'Bagaimana pendapatmu tentang qiraat ini? Saya mendapat berita bahawa sebahagian mereka mengatakan bahawa qiraatnya lebih baik dari qiraat orang lain. Ini telah mendekati kekafiran. Kami berkata: 'Bagaimana pendapatmu? Ia menjawab: 'Aku berpendapat agar manusia bersatu pada satu mushaf, sehingga tidak terjadi lagi perpecahan dan perselisihan, kami berkata: Baik sekali pendapatmu itu.

        Keterangan ini menunjukkan bahawa apa yang dilakukan Usman itu telah disepakati oleh para sahabat. Mushaf-mushaf itu ditulis dengan satu huruf (dialek) dari tujuh huruf al-Quran seperti yang diturunkan agar orang bersatu dalam satu qiraat. Dan Usman telah mengembalikan lembaran-lembaran yang asli kepada Hafsah, lalu dikirimkannya pula pada setiap wilayah iaitu masing-masing satu mushaf. Dan ditahannya satu mushaf untuk di Madinah, iaitu mushafnya sendiri yang dikenal dengan nama "Mushaf Imam".

          Penamaan mushaf itu sesuai dengan apa yang terdapat dalam riwayat-riwayat dimana ia mengatakan: " Bersatulah wahai umat-umat Muhammad, dan tulislah untuk semua orang satu imam (mushaf al-Quran pedoman)." Kemudian ia memerintahkan untuk membakar mushaf yang selainnya. Umat pun menerima perintah dengan patuh, sedang qiraat dengan enam huruf lainnya ditingalkan. Keputusan ini tidak salah, sebab qiraat dengan tujuh huruf itu tidak wajib. Seandainya Rasulullah mewajibkan qiraat dengan tujuh huruf itu semua, tentu setiap huruf harus disampaikan secara mutawatir sehingga menjadi hujah. Tetapi mereka tidak melakukannya. Ini menunjukkan bahawa qiraat dengan tujuh huruf itu termasuk dalam kategori keringanan. Dan bahawa yang wajib ialah menyampaikan sebahagian dari ketujuh huruf tersebut secara mutawatir dan inilah yang terjadi.

        Ibn Jarir mengatakan berkenaan dengan apa yang telah dilakukan oleh Usman: 'Ia menyatukan umat islam dengan satu mushaf dan satu huruf, sedangkan mushaf yang lain dibubar. Ia memerintahkan dengan tegas agar setiap orang yang mempunyai mushaf "berlainan" dengan mushaf yang disepakati itu membakar mushaf tersebut, umat pun menyokongnya dengan taat dan mereka melihat bahawa dengan begitu Usman telah bertindak sesuai dengan petunjuk dan sangat bijaksana. Maka umat meninggalkan qiraat dengan enam huruf selainnya sesuai dengan permintaan pemimpinnya yang adil itu sebagai bukti ketaatan umat kepadanya dan kerana pertimbangan demi kebaikan mereka dan generasi sesudahnya. Dengan demikian segala qiraat yang lain sudah dimusnahkan dan bekas-bekasnya juga sudah tidak ada. Sekarang sudah tidak ada jalan bagi orang yang ingin membaca dengan ketujuh huruf itu dan kaum muslimin juga telah menolak qiraat dengan huruf-huruf yang lain tanpa mengingkari kebenarannya atau sebahagian daripadanya, tetapi hal itu bagi kebaikan kaum muslimin itu sendiri. Dan sekarang tidak ada lagi qiraat bagi kaum muslimin selain qiraat dengan satu huruf yang telah dipilih olah imam mereka yang bijaksana dan tulus hati itu. Tidak ada lagi qiraat dengan enam huruf selainnya.

         Apabila sebahagian orang lemah pengetahuan berkata: Bagaimana mereka boleh meninggalkan qiraat yang telah dibacakan oleh Rasulullah dan diperintahkan pula membaca dengan cara itu? maka jawabnya ialah: 'Sesungguhnya perintah Rasulullah kepada mereka untuk membacanya itu bukanlah perintah yang menunjukkan wajib dan fardu, tetapi menunjukkan kebolehan dan keringanan (rukshah). Sebab andai kata qiraat dengan tujuh huruf itu diwajibkan kepada mereka, tentulah pengetahuan tentang setiap huruf dari ketujuh huruf itu wajib pula bagi orang yang mempunyai hujah untuk menyampaikannya, bertanya harus pasti dan keraguan harus dihilangkan dari para qari. Dan kerana mereka tidak menyampaikan hal tersebut, maka ini merupakan bukti bahawa dalam masalah qiraat mereka boleh memilih, sesudah adanya orang yang menyampaikan al-Quran dalam kalangan umat dan penyampaiannya menjadi hujah bagi sebahagian ketujuh huruf itu.

           Jika memang demikian halnya maka mereka tidak dipandang telah meninggalkan tugas menyampaikan semua qiraat yang tujuh tersebut, yang menjadi kewajipan bagi mereka untuk menyampaikannya. Kewajipan mereka ialah apa yang sudah mereka kerjakan itu. Kerana apa yang telah mereka lakukan tersebut ternyata sangat berguna bagi Islam dan kaum muslimin. Oleh itu, menjalankan apa yang menjadi kewajipan mereka sendiri lebih utama daripada melakukan sesuatu yang lebih kepada bencana terhadap Islam dan pemeluknya daripada menyelamatkannya."



SEBAB-SEBAB USMAN MENGUMPULKAN AL-QURAN.
Diriwayatkan oleh Imam Bukhari dari Anas bin Malik r.a, dia berkata:
    “Sesungguhnya Khudzaifah bin Yaman datang kepada Usman. Ketika itu beliau sedang mempersiapkan penduduk Syam dan Irak berperang menggempurkan Armenia dan Azerbijan. Khudzaifah tercengan melihat pertengkaran mereka dalam soal qiraah. Dia berkata kepada Usman, “ wahai Amirul Mukminin, tolonglah umat ini sebelum mereka pertengkaran mereka dalam soal qiraah. Dia berkata kepada Usman “ wahai Amirul Mukminin, tolonglah umat ini sebelum mereka bertengkar soal kitab sebagaimana pertengkaran orang yahudi dan nasrani. Kemudian Usman kirim surah kepada Hafsah, “ hendaklah kamu serahkan mushaf kepadaku untuk aku salin menjadi beberapa mushaf dan aku akan kembalikan lagi kepadamu.” Maka Hafsah segera mengirimkan mushaf kepada Usman. Lalu beliau memerintahkan Zaid bin Tsabit, Abdul Rahman bin Zubair, Sa’id bin ‘Ash dan Abdul Rahman bin Harits ibnu Hisyam, maka mereka menyalinnya menjadi beberapa mushaf. Kemudian Usman berkata kepada tiga kelompok suku Quraisy itu, “jika kamu berbeza pendapat dengan Zaid bin Tsabit dalam hal al-Quran, hendaklah kamu menulisnya dengan lisan Quraisy. Mereka melakukannya dan setelah menyalin mushaf itu menjadi beberapa salinan, Usman segera mengembalikan mushaf itu kepada Khofshoh dan sekaligus mengirimkan salinan mushaf ke seluruh penjuru disamping memerintahkan agar selain mushaf itu baik berupa lampiran atau mushaf, dibakar sahaja.”
( hadis riwayat Bukhari )

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...