Dragonball Online Mouse Pointer Blue

Pages

Followers

10 May 2013

ISRAILIYYAT DALAM KITAB TAFSIR ANWAR BAIDHAWI



ISRAILIYYAT DALAM KITAB TAFSIR ANWAR BAIDHAWI

ABSTRAK

Islam merupakan agama yang syumul merangkumi seluruh aspek kehidupan manusia. Sejajar dengan itu, al-Quran diturunkan sebagai kitabullah yang mempunyai panduan dan hidayah kepada seluruh umat manusia lengkap dengan segala isi kandungannya sama ada dari segi akidah, ibadah, perundangan, akhlak, sejarah dan sebagainya. al-Quran dinukilkan secara mutawatir dan merupakan kitab yang sentiasa dipelihara isi kandungannya oleh Allah (s.w.t.) daripada diseleweng oleh musuh Allah (s.w.t.). Namun begitu tidak dinafikan bahawa terdapat sesetengah para pentafsir dahulu atau masa kini memasukkan beberapa unsur-unsur Israiliyyat di dalam pentafsiran mereka. Unsur ini banyak dikesan terutamanya dalam menggambarkan perihal cerita-cerita para nabi dan rasul, dan faktor ini adalah antara penyebab berlakunya kelemahan dalam Tafsir Ma’thur. Kajian ini cuba menganalisis kitab tafsir Melayu lama karangan Syeikh Abd. Al-Rauf bin Ali al-Fansuri al-Singkili, yang merupakan antara kitab-kitab tafsir berbahasa Melayu yang dipelajari di surau-surau serta pondok-pondok bukan sahaja di Indonesia bahkan juga di Malaysia. Kajian ini akan menjelaskan tentang biodata pengarang terlebih dahulu, dan kemudiannya diikuti dengan pengenalan kitab dan terakhir ialah analisa terhadap riwayat-riwayat Israiliyyat yang terdapat di dalamnya. Selayaknya kitab ini diberi perhatian dan penumpuan bagi menilai sama ada ia juga dipengaruhi oleh riwayat-riwayat Israiliyyat ataupun tidak. Semoga masyarakat yang cintakan al-Quran mampu mendalami tafsiran-tafsirannya tanpa terpengaruh dengan riwayat-riwayat Israiliyyat yang batil yang tidak berdasarkan kepada sanad yang sahih.


PENDAHULUAN

Al-Quran merupakan satu mukjizat yang sesuai untuk semua zaman, keadaan, dan juga tempat. Oleh itu, ia memerlukan satu penafsiran yang kukuh untuk memudahkan orang awam memahami kandungan al-Quran dan seterusnya dapat menghayati segala isi kandungannya. Penafsiran yang dilakukan tidak berhati-hati akan memudahkan unsur-unsur Israiliyyat dan khurafat memasuki ke dalam kitab-kitab tafsir. Unsur-unsur Israiliyyat ini menyerap masuk ke dalam kitab tafsir kerana sikap ambil mudah pentafsir. Mereka terus menukilkan tafsir tanpa mengira kesahihan cerita tersebut.

Islam adalah agama yang syumul. Segala pengajaran, arahan dan larangannya adalah merangkumi seluruh aspek kehidupan manusia. Sejajar dengan itu, al-Quran diturunkan sebagai kitabullah yang mempunyai panduan dan hidayah kepada seluruh umat manusia, lengkap dengan segala isi kandungannya sama ada dari segi aqidah, ibadah, perundangan, akhlak, sejarah dan sebagainya.

Al-Quran dinukilkan secara mutawatir dan merupakan kitab yang sentiasa dipelihara isi kandungannya oleh Allah daripada diseleweng oleh musuh-musuh-Nya. Namun begitu, terdapat sesetengah para pentafsir dahulu atau masa kini yang memasukkan unsur-unsur Israiliyyat dalam pentafsiran mereka. Unsur-unsur ini banyak dikesan terutamanya dalam menggambarkan perihal cerita-cerita para nabi dan rasul. Faktor ini adalah antara penyebab berlakunya kelemahan dalam tafsir ma’thur.

Artikel ini bertujuan untuk menganalisa kitab tafsir Melayu Tafsir Anwar Baidhawi karangan Abd. Al-Rauf bin Ali al-Fansuri al-Singkili atau Sheikh Abdurrauf yang ditafsirkan secara lengkap tiga puluh juzuk. Kitab ini ditulis dalam bahasa Melayu tulisan Jawi lama. Tafsir ini masih dicetak hingga sekarang. Ia dicetak dalam tiga penggal, dan yang terbaru sekali ia dicetak hanya dalam satu jilid tebal. Kitab tafsir ini menjadi pilihan kerana ia merupakan antara kitabkitab tafsir berbahasa Melayu yang dipelajari di surau-surau, masjid-masjid serta pondok-pondok di Malaysia.

Kitab ini wajar diberi perhatian dan penumpuan bagi menilai sama ada ia juga dipengaruhi oleh kisah-kisah Israiliyyat ataupun tidak. Artikel ini bertujuan membincangkan tafsiran-tafsiran al-Quran secara terperinci, tanpa terpengaruh dengan kisah-kisah Israiliyyat yang tidak berdasarkan kepada sanad yang sahih.




PENGERTIAN ISRAILIYYAT

Perkataan Israiliyyat adalah diambil daripada kata jamac. Mufradnya adalah diambil daripada kata Israiliyyah, yang dinisbahkan kepada Bani Israil (keturunan Israil). Manakala Israil pada asalnya adalah nama Nabi Allah Yaakob (a.s.) yang membawa maksud Abdullah atau hamba Allah. Bani Israil atau keturunan Israil ialah keturunan Nabi Yaakob (a.s.) yang berkembang hingga kepada Nabi Musa (a.s.) dan seterusnya nabi-nabi yang datang silih berganti, sehinggalah keturunannya yang terakhir iaitu Nabi Isa (a.s.). Keturunan Nabi Yaakob (a.s.) atau Bani Israil sejak beberapa zaman yang lalu dikenali dengan panggilan Yahudi. Keturunan yang beriman kepada Nabi Isa (a.s.) pula dikenali dengan nama Nasara atau Nasrany. Manakala yang beriman dengan Nabi Muhammad (s.a.w.) pula telah menjadi sebahagian daripada umat Islam dan dikenali dengan Muslim ahl al-Kitab (Abu Syaybah 1408: 12).

Israiliyyat menurut istilah ahli tafsir ialah kisah-kisah Yahudi yang menyerap masuk ke dalam masyarakat Islam melalui tafsir al-Quran yang banyak berlaku di zaman tabi’in. Namun ulama tafsir dan hadith menggunakan istilah Israiliyyat terhadap perkara-perkara yang lebih luas, iaitu setiap kisah termasuk cerita lama yang diadakan, dimasukkan ke dalam tafsir. Bahkan sesetengah ulama tafsir dan hadith menganggap Israiliyyat adalah setiap kisah yang dicipta dan disampai oleh musuh-musuh Islam ke dalam tafsir dengan tujuan untuk merosakkan kesucian Islam (al-Dhahabi 1990: 13).





RIWAYAT ISRAILIYYAT

Secara umumnya, riwayat Israiliyyat boleh dibahagikan kepada tiga bahagian;
1.    Israiliyyat yang sahih dan bertepatan dengan nas-nas al-Quran dan al- Sunnah. Israiliyyat daripada bahagian ini harus diriwayatkan berdasarkan Hadith Nabi (s.a.w.) yang bermaksud (al-Bukhari t.th., 1: 258): Sampaikan daripada aku walaupun satu ayat. Perkatakanlah tentang kisah-kisah Bani Israil dan ianya bukan menjadi satu kesalahan. Dan sesiapa berdusta terhadapku maka disediakan baginya tempat di dalam neraka.
2.    Israiliyyat yang bercanggah dengan nas yang Qatci daripada al-Quran dan juga al-Sunnah, serta menyalahi lojik akal. Israiliyyat daripada bahagian ini tidak harus diriwayatkan.
3.    Israiliyyat yang ‘Maskut canhu’ iaitu yang tidak disokong oleh nas al-Quran dan juga al-Sunnah iaitu ia bukan dari bahagian pertama dan juga bahagian kedua. Bahagian ini tidak perlu kita membenarkannya dan tidak juga mendustakannya. Tetapi harus diriwayatkannya (al-Zahabi t.th., 1: 178).




PENGARUH ISRAILIYYAT KE ATAS KITAB TAFSIR

Kemasukan Israiliyyat ke dalam tafsir bermula dengan kemasukan thaqafah (peradaban) Bani Israil (yang berhijrah ke Semenanjung Arab) ke dalam thaqafah Arabiyyah di zaman Jahiliyyah. Bangsa Yahudi ini membawa bersama-sama mereka ilmu-ilmu dan pengetahuan yang diambil daripada kitab-kitab agama mereka, dan segala perkara yang berkaitan dengannya daripada huraian-huraian, dan juga yang mereka warisi daripada satu generasi ke satu generasi daripada nabi-nabi mereka dan pendita-pendita mereka. Mereka mempunyai tempat yang dinamakan al-midras iaitu sekolah-sekolah tempat mereka mempelajari setiap perkara yang diwarisi. Mereka juga mempunyai tempat-tempat ibadah dan syiar agama mereka.

Kemudian, datang ajaran Islam dan kitab Allah (s.w.t.) yang terkandung di dalamnya ilmu dan agama. Seruan Islam lahir dan tersebar di kalangan penduduk Semenanjung Arab. Pada zaman Rasulullah (s.a.w.) pusat negara Islam adalah Madinah al-Munawwarah. Untuk mendidik para sahabat, majlis-majlis ilmu pada zaman Rasulullah (s.a.w.) ini dilakukan di Masjid Madinah. Di kota Madinah dan di sekitarnya tinggal bermukim beberapa golongan Yahudi seperti Bani Qainuqa’, Bani Quraizah, Bani al-Nadir, Yahudi Khaibar, Taima’ dan Fadak. Terdapat di kalangan ulama Yahudi atau ahli Kitab di Madinah yang memeluk Islam seperti Abdullah b. Salam (r.a.). Beliau dan orang sepertinya menjadi tempat rujukan kepada sahabat untuk bertanya secara terperinci tentang kisah-kisah yang sama yang juga disebut di dalam kitab-kitab al-Quran dan Taurat.

Namun para sahabat tidak menerima bulat-bulat apa yang diceritakan kepada mereka. Malah mereka menapisnya dengan akal dan juga syarak. Mereka hanya menerima apa yang diterima oleh akal dan syarak dan menolak sekiranya bercanggah dengan keduanya. Seterusnya mereka berdiam diri terhadap perkara-perkara yang tidak jelas tentang benar dan salahnya. Ibn Khaldun (1968, 1: 786-787) menyatakan apabila timbul keinginan di kalangan orang-orang Arab untuk mengetahui tentang permulaan kejadian makhluk dan rahsia kejadian, mereka cenderung bertanya ahli kitab dari kalangan Yahudi dan Nasrani.

Majoriti mereka adalah dari suku bangsa Humair. Apabila mereka memeluk Islam, pengaruh daripada ajaran agama mereka yang berkaitan dengan asal kejadian makhluk, cerita-cerita tentang peperangan dan sebagainya masih kuat dalam diri mereka. Antara golongan mereka ialah Ka’ab b. al-Ahbar, Wahab b. Munabbih, dan Abdullah b. Salam. Kerana inilah cerita-cerita Israiliyyat yang terdapat dalam kitab-kitab tafsir dipenuhi dengan riwayat-riwayat daripada mereka.






PENGARUH ISRAILIYYAT TERHADAP AQIDAH UMAT ISLAM

Terdapat sebahagian daripada kisah-kisah Israiliyyat yang boleh menyebabkan kekeliruan dan mengganggu kemurnian ajaran Islam. Antara kisah-kisah tersebut ialah yang berbentuk dongeng dan khurafat, yang bersalahan dengan akal dan syarak. Kisah-kisah ini boleh mengakibatkan kesan berikut;
1.     Dalam Israiliyyat terdapat unsur penafian terhadap sifat maksum para anbiya’ dan mursalin, dan menggambarkan mereka menolak kelazatan dan kenikmatan pemberian Tuhan kepada kekejian dan keaiban yang tidak layak bagi manusia biasa, sebagai anugerah Tuhan kerana dilantik menjadi nabi. Sebagai contoh apa yang digambarkan oleh kisah Israiliyyat tersebut terhadap apa yang menimpa Nabi Allah Ayub (a.s.).

2.     Israiliyyat hampir-hampir menghilangkan kepercayaan umat Islam terhadap sebahagian ulama salaf dari kalangan sahabat dan Tabi’in. Bukan sedikit dongeng Israiliyyat yang disandarkan riwayatnya kepada segolongan daripada salafus salih yang terkenal dengan kepercayaan orang dan keadilannya. Mereka juga terkenal di kalangan orang-orang Islam dengan tafsir dan Hadith. Antara yang ditohmah ialah Abu Hurairah, Abdullah bin Salam, Ka’ab al-Ahbar dan Wahab bin Munabih.

3.     Israiliyyat juga hampir-hampir memalingkan manusia dari tujuan asal penurunan al-Quran dan melalaikan mereka daripada meneliti dan memahami maksud ayat-ayat al-Quran, lalai daripada mengambil manfaat dan iktibar, serta nasihat-nasihat yang terkandung di dalamnya atau membahaskan tentang hukum-hukum yang terdapat di dalamnya. Memalingkan mereka kepada perkara sia-sia yang tiada kebaikan padanya. Contohnya membahaskan warna anjing Ashabul Kahfi dan namanya, tentang tongkat Nabi Musa (a.s.), daripada pokok apakah ianya dibuat, tentang nama budak kecil yang dibunuh oleh Khidir dan sebagainya. Inilah antara kesan terhadap aqidah umat Islam dan juga terhadap kesucian ajaran Islam hasil daripada riwayat Israiliyyat. Kaum Yahudi berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk merosakkan aqidah umat Islam dan melemahkan kepercayaan mereka terhadap pegangan suci mereka terhadap al-Quran dan al- Sunnah. Mereka juga berusaha untuk menggoncang kepercayaan umat Islam terhadap Salafussoleh yang telah berperanan untuk memikul risalah umat Islam dan menyebarkannya ke setiap penjuru Timur dan Barat. Oleh itu, umat Islam seharusnya memberi perhatian dan mengambil berat terhadap penyerapan Israiliyyat dalam tafsir-tafsir dan menghapuskannya (al-Dhahabi 1990: 29-34). 28 Isla-miyya-t 26(2)






PENULIS TAFSIR

Abd. al-Rauf bin Ali al-Fansuri al-Singkili atau Sheikh Abdurrauf Sheikhkuala, merupakan seorang tokoh agama, ahli tasawuf, negarawan dan karyawan. Beliau dilahirkan di Singkel, utara Fansur (Pantai Barat Sumatera). Mengenai tarikh kelahiran beliau tersebut, terdapat beberapa riwayat yang berbeza. Ada yang menyatakan bahawa beliau dilahirkan pada tahun 1001H/1592M, ada yang menyatakan bahawa beliau dilahirkan pada 1024H/1615M, dan ada yang menyatakan bahawa beliau dilahirkan pada tahun 1029H/1620M.

Bagaimanapun, tidak terdapat percanggahan tentang tarikh wafatnya iaitu beliau meninggal dunia pada tahun 1106H/1695M di Kuala Sungai Aceh (Mahayuddin 1986: 44). Abd. al-Rauf mendapat pendidikan awal daripada bapanya, Sheikh Ali al-Fansuri sehingga beliau menguasai ilmu-ilmu asas agama dan bahasa Arab. Abd. al-Rauf turut berguru dengan bapa saudaranya, Sheikh Hamzah Fansuri di Dayah Oboh Simpang Kiri (Singkel) dan dengan Sheikh Shamsuddin Sumarani di Pasai.

Beliau melanjutkan pelajarannya ke Semenanjung Tanah Arab iaitu di Makkah, Madinah, Yamman, Baitulmaqdis dan Istanbul. Dalam tempoh hampir dua puluh tahun di luar negeri, Abd. al-Rauf telah mempelajari pelbagai ilmu seperti fikah, hadith, tafsir, mantiq, falsafah, geografi, ilmu falak, ilmu tauhid, sejarah dan perubatan. Di samping itu, beliau mempelajari ilmu tasawuf mengikut tarekat Shattariyyah dan tarekat Qadariyyah sehingga beliau dikurniakan ijazah daripada dua tarekat tersebut. Dengan itu, beliau dikurniakan gelaran “Sheikh” yang bermaksud “pemimpin tarekat” (Mahayuddin 1986: 45).

Pada bulan Rabiulawal 1071H/1661M Abd. al-Rauf dilantik menjadi Kadi Malikul Adil atau Mufti Kerajaan Aceh Darussalam pada zaman pemerintahan Ratu Safiatuddin dan kekal dengan jawatan itu hingga ke zaman Sultanah Sri Ratu Kamalatuddin Shah (1098H/1688M-1109H/1699M). Beliau banyak menghasilkan buku, antaranya ialah kitab cUmdah al-Ahkam mengenai hukum-hukum Islam; al-Tarjuman al-Musafid atau Tafsir Anwar Baidhawi, tafsir al- Quran yang pertama dalam bahasa Melayu; Bayan Tajalli, yang membahas masalah falsafah ketuhanan, iaitu faham wahdah al-wujud yang berdasarkan manusia dan martabat tujuh sebagai gambaran Tuhan yang ditentang oleh Abd. al-Rauf; Daqa’iq al-Huruf, mengenai rahsia-rahsia huruf; Shicr Macrifah, kumpulan sajak yang membahas masalah ketuhanan, dan Hidayah al-Balaghah cala Jumcat al-Mukhasamah, iaitu kitab hukum Islam mengenai sengketa.

Bagi mengenang jasa beliau yang begitu besar dalam bidang pendidikan, pada 2 September 1961 namanya telah diabadikan menjadi nama sebuah universiti di Darussalam iaitu Universiti Sheikhkuala (Mahayuddin 1986: 44-46). Abdul Malik Abdul Karim (Hamka) (1999 1: 24) telah menyentuh mengenai ketokohan Shaykh Abdul Rauf Fansuri dalam pendahuluan kitab tafsir beliau, Tafsir al-Azhar. Beliau menyatakan: Bahawa usaha menterjemah dan mentafsirkan al-Quran menerusi penulisan Tafsir al-Azhar ialah sebagai menyambung dan meneruskan usaha yang telah dirintis oleh para ulama terdahulu, termasuk kitab tafsir yang ditulis oleh Shaykh Abdul Rauf Fansuri pada abad ke-11H/17M.





TARJUMAN AL-MUSTAFID

Tarjuman al-Mustafid adalah sebuah kitab terjemahan yang dilakukan oleh Shaykh Abdul Rauf terhadap kitab tafsir Arab berjudul Tafsir Anwar al-Tanzil wa Asrar al-Ta’wil, karangan Imam al-Qadi al-Baydawi. Ia juga mungkin merupakan terjemahan daripada Tafsir Jalalayn. Setelah penelitian dibuat terhadap kedua-dua kitab tafsir tersebut, didapati banyak perbezaan. Hasil penelitian menunjukkan bahawa Abd. al-Rauf tidak menterjemah keseluruhan kitab Tafsir Anwar al-Tanzil karya al-Baydawi , tetapi ia dijadikan sebagai rujukan utama beliau, di samping kitab-kitab tafsir lain seperti Tafsir al-Khazin dan Tafsir al-Jalalayn.

Pendapat ini dikuatkan lagi dengan kenyataan seorang daripada penyunting kitab tafsir ini sendiri, iaitu Shaykh Ahmad al-Fatani dalam cetakan pertama. Beliau berkata “inilah yang dinamakan Tarjuman al-Mustafid bi al-Jawi yang diterjemahkan dengan bahasa Jawi yang diambil sesetengah maknanya dari Tafsir al-Baydawi (Wan Mohd. Shaghir 2001: 160). Kenyataan Shaykh Ahmad ini menunjukkan pihak penyunting sendiri telah menggunakan lafaz ‘sesetengah yang membawa maksud bukan semua isi kandungan kitab Shaykh Abdul Rauf Fansuri telah disalin dan diterjemah daripada kitab Tafsir Anwar al-Tanzil karya al-Baydawi.

Sebagai penulis tafsir paling awal di Nusantara, karya beliau tersebar ke seluruh wilayah Melayu-Indonesia. Bahkan cetakan edisinya diedar sehingga ke Afrika Selatan. Cetakan edisi-edisinya tidak hanya diterbitkan di Singapura, Penang, Jakarta dan Bombay tetapi juga diterbitkan di Timur Tengah. Disebabkan Tarjuman Mustafid diterbitkan di Timur Tengah maka ia mencerminkan ketinggian nilai karya ini serta ketinggian intelektual al-Singkili. Edisi terakhir beliau diterbitkan di Jakarta pada tahun 1981 (Azyumardi Azra Mizan 1995: 203).
Abd. al-Rauf banyak memberi sumbangan kepada perkembangan tafsir al- Quran di Nusantara. Beliau meletakkan dasar bagi batasan antara tarjamah dan tafsir. Ini mendorong beliau menelaah dengan lebih mendalam karya-karya tafsir dalam bahasa Arab. Tafsir Tarjuman al-Mustafid merupakan satu-satunya tafsiran lengkap al-Quran di Tanah Melayu selama tiga abad, sebelum munculnya tafsir-tafsir baru di wilayah Melayu Indonesia. Namun ini tidak bererti tafsir tersebut telah kehilangan daya tarikannya.





ISRAILIYYAT DALAM KITAB TAFSIR ANWAR AL-BAIDHAWI

Artikel ini melihat satu sudut sahaja daripada kandungan kitab ini, iaitu yang berkaitan dengan riwayat-riwayat Israiliyyat. Riwayat-riwayat Israiliyyat yang bertentangan dengan akal dan syarak boleh mengurangkan nilai tafsiran tersebut kerana ia tidak diperlukan dalam memahami ayat. Lebih daripada itu, ia boleh merosakkan pemikiran umat Islam khususnya mereka yang membaca tafsir-tafsir yang mengandungi riwayat-riwayat Israiliyyat tersebut. Artikel ini juga mengemukakan riwayat-riwayat Israiliyyat yang terdapat di dalam tafsiran ini sebagai satu usaha bagi memudahkan kalangan pembaca bagi membezakan antara tafsiran al-Quran yang sebenar dengan riwayat Israiliyyat.


BEBERAPA KISAH ISRAILIYYAT DALAM TAFSIR

Antara kisah-kisah Israiliyyat yang terdapat dalam kitab Tafsir Anwar Baidhawi ialah:

·         Kisah Talut dan Jalut
Kisah ini diceritakan oleh Allah (s.w.t.) dalam al- Quran bermaksud:

Dan nabi mereka berkata lagi kepada mereka: Sesungguhnya tanda kerajaan Talut itu ialah datangnya kepada kamu peti tabut yang mengandungi (sesuatu yang memberi) ketenteraman jiwa dari Tuhan kamu, dan (berisi) sebahagian dari apa yang telah ditinggalkan oleh keluarga nabi-nabi Musa dan Harun, peti tabut itu dibawa oleh oleh malaikat, sesungguhnya peristiwa kembalinya tabut itu mengandungi satu tanda keterangan bagi kamu, jika benar kamu orang yang beriman (al-Baqarah 2: 248).

Abd. Rauf Fansuri mentafsirkan ayat ini dengan katanya (al-Fansuri t.th.: 7): Dan telah berkata bagi mereka itu Nabi mereka itu tatkala dituntut mereka itu daripadanya tanda atas kerajaan Thalut itu bahawasanya tanda kerajaannya bahawa didatangkan akan kamu suatu peti di dalamnya ketetapan bagi segala hati kamu daripada Tuhan kamu dan yang mati daripada peninggalan Musa dan Harun pada hal menanggung akan dia segala malaikat. Tersebut di dalam Khazin adalah peti itu di dalamnya rupa segala nabi yang diturunkan Allah Taala ia atas Adam maka turun temurun hingga datang kepada Musa dan adalah mereka itu menuntut kemenangan pada Allah Taala dengan berkat peti itu atas seteru mereka itu dan dihantarkan mereka itu peti itu di hadapan mereka itu maka tatap (melihat) mereka itu kepadanya tatkala perang dan ditaruh di dalamnya oleh Musa, Taurat dan mata bendanya di taruh Harun di dalamnya tengkoloknya maka tatkala mati Musa tinggalah peti itu pada padang maka tatkala ditentu oleh mereka itu akan tanda kerajaan Thalut maka ditengking akan dia oleh malaikat antara langit dan bumi pada hal mereka itu menilik kepadanya hingga dihantarkan malaikat akan peti itu pada Thalut maka percayalah mereka itu akan kerajaan Thalut.

Tafsiran ini jelas menunjukkan terdapatnya unsur-unsur Israiliyyat. Ini dapat dilihat menerusi tafsiran ayat yang dilakukan oleh pengarang mengenai kerajaan Talut. Dalam al-Quran, Allah (s.w.t.) ada menceritakan tentang kerajaan Talut, dan peti Tabut. Peti Tabut ini diceritakan sebagai tempat menyimpan kitab Taurat, tetapi tidaklah sampai kepada mempunyai segala nama dan rupa nabi-nabi dari Adam (a.s.) hingga Musa (a.s.).

Kitab tafsir Fi Zilal al-Qur’an juga mentafsirkan ayat tentang kerajaan Talut. Dalam kitab tafsir Fi Zilal al-Qur’an ini, diceritakan bahawa malaikat membawa peti yang berisi kitab Taurat kepada Talut. Peti tersebut ialah peninggalan daripada keluarga Nabi Musa (a.s.) dan Harun (a.s.). Apabila Nabi Musa (a.s.) wafat, pihak musuh mengambil peti tersebut. Terdapat juga pendapat yang menyatakan bahawa peti yang mengandungi naskah Taurat itu adalah pemberian daripada Allah Taala kepada Nabi Musa (a.s.) di Bukit Tur (Sayyid Qutb 1972: 268).


·         Kisah Nabi Sulaiman (a.s.) dengan Puteri Balqis
Firman Allah (s.w.t.) dalam al-Quran bermaksud:

Setelah itu dikatakan kepadanya, dipersilakan masuk ke dalam istana ini. Maka tatkala ia melihatnya, disangkanya halaman istana itu sebuah kolam air, serta iapun menyingsingkan pakaian dari dua betisnya. Nabi Sulaiman berkata, sebenarnya ini adalah sebuah istana yang diperbuat licin berkilat dari kaca. Mendengar yang demikian, Balqis berdoa: Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku telah menganiaya diri sendiri dan sekarang aku menegaskan bahawa aku berserah diri memeluk Islam bersama-sama Nabi Sulaiman kepada Allah Tuhan sekalian alam (al-Naml 27: 44).

Pengarang kitab Tafsir Anwar Baidhawi mentafsirkan maksud ayat ini dengan menyatakan: Tatkala dikhabarkan oleh jin kakinya seperti kaki keldai maka disuruh Sulaiman segala syaitan berbuat halaman dari kaca supaya dicubainya dengan tiada menyuruh membukakan kainnya maka tatkala disumbatkan oleh Balqis kainnya maka tahulah ia akan baik kakinya (al-Fansuri t.th.: 305).

Selain daripada itu, pengarang kitab Tafsir Anwar Baidhawi ini juga menyatakan bahawa: Tatkala berkehendak kepada Sulaiman mengahwin dia maka benci ia akan bulu betisnya dan dibubuh oleh segala syaitan baginya kapur maka dihilangkannya ia dengan dia… (al- Fansuri t.th.: 305).

Sayyid Qutb (1974: 150-151) mentafsirkan ayat ini dengan menyatakan bahawa apabila Puteri Balqis tiba di istana Nabi Sulaiman, maka baginda pun dipersilakan masuk. Perkara yang memeranjatkan Balqis ialah keadaan istana tersebut yang diperbuat daripada kaca. Lantai istana itu dibina di atas air, dan ini membuatkan ia kelihatan seakan-akan seperti sebuah kolam air. Oleh kerana baginda menyangka bahawa baginda akan mengharungi sebuah kolam, baginda pun menyingsingkan kainnya. Keadaan ini menyebabkan Nabi Sulaiman menjelaskan rahsianya dengan berkata: “Sesungguhnya istana ini adalah sebuah istana yang dibuat dengan cara yang halus iaitu dari bahan kaca”. Ibn Kathir (1966: 238-239) pula menjelaskan bahawa ketika Puteri Balqis dipersilakan masuk ke dalam istana yang lantainya diperbuat daripada kaca dan kelihatan seperti sebuah kolam air, baginda masuk sambil menyingkapkan kainnya. Setelah itu Nabi Sulaiman (a.s.) pun berkata: “Sesungguhnya bukanlah air yang  engkau pijak, lantai ini sangat licin kerana diperbuat daripada kaca”. Puteri Balqis yang sangat kagum dengan struktur binaan istana tersebut, kemudiannya memeluk Islam.

Manakala menurut al-Maraghi (1974: 144-145), sebelum ketibaan Balqis, Sulaiman telah menyuruh bala tenteranya untuk membina sebuah istana besar yang lantainya diperbuat dari kaca putih yang licin. Di bawahnya terdapat air yang mengalir dengan pelbagai ikan dan lain-lain. Apabila Balqis tiba, Sulaiman menyambutnya di istana dan duduk di ruang tengah. Ketika Balqis hendak mendekati Sulaiman, Balqis menyangka lantai itu adalah air. Lalu Balqispun menyingsingkan kainnya supaya pakaiannya tidak basah seperti mana yang biasa dilakukan oleh orang yang menyeberangi air. Ketika itu Sulaiman pun berkata kepada Balqis: “Sesungguhnya apa yang kamu sangkakan air itu bukanlah air, tetapi ia adalah sebuah istana yang diperbuat daripada kaca”. Balqis segera menutupi betisnya dan beliau berasa amat kagum dengan ciptaan itu. Setelah itu, barulah Balqis menyedari bahawa ada lagi kerajaan lain yang lebih berkuasa dari kerajaannya. Sulaiman lantas menyeru Balqis supaya menyembah Allah dan meninggalkan penyembahan selain daripada-Nya.

Pengarang kitab Tafsir Anwar Baidhawi didapati mentafsirkan ayat 44, surah al-Naml dengan menyatakan bahawa jin telah mengkhabarkan kepada Sulaiman tentang kaki Puteri Balqis adalah seperti kaki keldai. Sulaiman lantas memerintahkan para syaitan supaya membina sebuah halaman dalam istana yang seakan-akan sebuah kolam air supaya Sulaiman dapat memastikan kebenaran cerita itu. Apabila Balqis berjalan di atas halaman yang dibina itu sambil menyingsingkan kainnya, maka Sulaiman mendapati kaki Balqis sebenarnya berkeadaan baik. Menurut riwayat ini juga, ketika Balqis menyingsing kainnya itu, Sulaiman terpandang akan bulu betisnya. Sulaiman tidak suka melihatnya lalu syaitan menghilangkannya dengan kapur.

Apabila riwayat Tafsir Anwar Baidhawi ini dibandingkan dengan pendapat para ahli tafsir seperti al-Fansuri, Sayyid Qutb, Ibn Kathir dan al-Maraghi, didapati tidak ada satu pun tafsiran daripada ahli tafsir yang menyentuh tentang perkara ini apatah lagi membenarkannya. Tafsiran para ahli tafsir didapati hanya menjelaskan tentang kekaguman Balqis terhadap istana yang dibina oleh Nabi Sulaiman (a.s.). Rasa kagum ini melahirkan keinsafan dan telah menyedarkan Balqis bahawa ada lagi kuasa lain yang lebih hebat daripada kekuasaannya.

Fenomena ini akhirnya membawa Balqis kepada Islam. Kisah yang menyatakan bahawa Balqis menyingkap kainnya ketika berjalan di dalam istana Sulaiman kerana menyangka beliau sedang menyeberangi sebuah kolam air juga adalah diakui kebenarannya oleh para ahli tafsir. Bagaimanapun, tidak ada riwayat yang menyatakan bahawa ketika Balqis menyingsing kainnya, Sulaiman telah terpandang bulu betis Balqis dan membencinya serta tidak ada juga riwayat yang menjelaskan bahawa kaki Balqis adalah seperti kaki keldai seperti yang didakwa oleh pengarang kitab Tafsir Anwar Baidhawi.


·         Kisah Nabi Syu’aib (a.s.) dan Nabi Musa (a.s.)
Firman Allah (s.w.t.) dalam al-Quran bermaksud:

Musa menjawab, perjanjian itu adalah antaraku denganmu (tetap dihormati bersama) yang mana sahaja dari dua tempoh itu aku tunaikan, maka janganlah aku disalahkan. Dan Allah jualah menjadi pengawas di atas apa yang kita katakan (al-Qasas 28: 28).

Pengarang kitab Tafsir Anwar Baidhawi didapati mentafsirkan ayat 28, surah al-Qasas ini dengan satu kisah, iaitu: Menurut kata mufassir, setelah selesainya akad Nabi Shu’aib (a.s.) telah menyuruh anak perempuannya memberi kepada Nabi Musa (a.s.) satu tongkat untuk menyelamatkan baginda daripada segala binatang yang buas ketika menjaga kambing.

Pengarang kitab Tafsir Anwar Baidhawi ini juga didapati meriwayatkan bahawa tongkat semua nabi berada pada tangan Nabi Shu’aib. Manakala tongkat yang berada pada anak perempuan Nabi Shu’aib (a.s.) adalah tongkat Nabi Adam (a.s.) yang diperbuat daripada sejenis kayu, yang bernama As Asol yang diambil daripada syurga, kemudian diambil oleh Nabi Musa (a.s.) dengan pengetahuan Nabi Shu’aib (al-Fansurit.th.: 320). Apabila dirujuk kepada kitab-kitab yang peka terhadap persoalan Israiliyyat, seperti Sayyid Qutub (1974: 58-59), di dapati beliau mentafsirkan ayat 28, surah al-Qasas ini dengan menyatakan bahawa apabila Nabi Musa (a.s.) menerima tawaran dan perjanjian itu mengikut syarat-syarat yang ditetapkan oleh Nabi Syu’aib (a.s.), maka Nabi Musa (a.s.) pun berkata: “Dan mana-mana sahaja daripada dua tempoh kerja itu saya tunaikan maka hendaklah tidak ada apa-apa tuntutan yang lain lagi ke atas saya. Dan Allah juga yang menjadi saksi di atas apa yang kita katakan ini”. Ertinya apabila cukup tempoh selama lapan tahun Nabi Musa (a.s.) bekerja maka hendaklah tidak ada lagi tuntutan yang lain melebihi tugas-tugas kerja tersebut kerana kerja yang lebih itu hanyalah merupakan kerja sukarela sahaja. Nabi Musa (a.s.) telah membuat penjelasan ini sesuai dengan kejujuran hatinya dan ketegasan sahsiahnya, sedangkan beliau sendiri telah berniat untuk menunaikan kerja yang lebih baik.

Ibn Kathir (1966: 274) pula menyatakan bahawa di dalam ayat sebelumnya iaitu ayat 27, surah al-Qasas, Nabi Syu’aib telah menerima cadangan puterinya supaya mengambil Musa (a.s.) bekerja dengan baginda, lalu Nabi Syu’aib (a.s.) pun memanggil Nabi Musa (a.s.) dan berkata: Wahai Musa, aku ingin mengahwinkan engkau dengan salah seorang daripada puteriku ini dengan mas kahwinnya engkau hendaklah bekerja denganku selama lapan tahun. Jika engkau hendak memanjangkan tempoh kerjamu selama sepuluh tahun, maka itu aku anggap sebagai kerja sukarela dan aku tidak memaksa. Kemudian dalam ayat 28, surah al-Qasas ini, Nabi Musa (a.s.) menjawab:
Aku menerima tawaranmu ini dengan perjanjian sebagaimana yang engkau tetapkan iaitu bekerja selama lapan tahun dan sekiranya aku bersetuju, aku boleh memanjangkan masa kerjaku sehingga sepuluh tahun. Allahlah yang menjadi saksi atas apa yang telah kita ucapkan.

Al-Maraghi (1974: 52-53) dalam mengutarakan pendapatnya berhubung maksud ayat 28, surah al-Qasas ini menyatakan bahawa Nabi Musa (a.s.) telah berkata: Apa yang engkau syaratkan kepadaku adalah untukmu dan apa yang engkau syaratkan kepadaku untuk mengahwini di antara salah seorang daripada puterimu adalah untukku. Kita masing-masing tidak boleh keluar dari syarat yang telah kita persetujui ini”. Kemudian Nabi Musa (a.s.) menyambung lagi: “Apabila aku telah menyempurnakan lapan atau sepuluh tahun untuk mengembala kambing, itu bermakna aku telah menyempurnakan syaratmu. Oleh itu, engkau tidak berhak yang lebih daripada itu. Dan sesungguhnya Allahlah yang menjadi saksi kepada perjanjian kita.

Dalam mentafsirkan ayat 28, surah al-Qasas ini, para ahli tafsir tidak pernah menyebut tentang adanya tongkat yang diberikan oleh anak perempuan Nabi Syu’aib (a.s.) kepada Nabi Musa (a.s.). Apatah lagi tentang asal-usul tongkat tersebut yang dikatakan salah satu daripada tongkat nabi-nabi dan berasal dari syurga. Al-Quran hanya menceritakan tentang akad perjanjian yang berlaku di antara Nabi Syu’aib (a.s.) dan Nabi Musa (a.s.). Dalam perjanjian tersebut, Nabi Syu’aib telah berjanji akan mengahwinkan Nabi Musa (a.s.) dengan salah seorang daripada anak perempuannya sekiranya Nabi Musa (a.s.) bersetuju untuk bekerja selama lapan tahun bersama baginda dan syarat ini dipersetujui oleh Nabi Musa (a.s.).


·         Kisah Nabi Musa (a.s.) dengan Firaun
Firman Allah dalam al-Quran yang bermaksud:

Dan Firaun pula berkata, hai pembesar kaumku, aku tidak mengetahui ada bagi kamu Tuhan selain daripadaku. Oleh itu wahai Hamman, bakarkanlah untukku batu-bata serta binalah untukku bangunan yang tinggi supaya aku boleh naik untuk melihat Tuhan Musa yang dikatakan itu. Dan sesungguhnya aku percaya Musa daripada kalangan orang-orang yang berdusta (al-Qasas 28: 38).

Al-Fansuri telah mentafsirkan ayat 38, surah al-Qasas ini dengan katanya: Tersebut di dalam al-Khazin, tatkala selesailah mereka membina mahligai (tangga) seperti yang disuruh itu, maka naiklah Firaun ke atas dan disuruhnya panah ke langit. Setelah anak panah itu kembali kepadanya, didapati anak panah itu berlumuran dengan darah dan Firaun mengatakan bahawa beliau telah membunuh Tuhan Musa (al-Fansuri t.th.: 322).

Dalam mentafsirkan ayat 38, surah al-Qasas ini, pengarang kitab Tafsir Anwar Baidhawi menyatakan bahawa ketika Nabi Musa (a.s.) menyeru Firaun kepada Islam, Firaun telah mempersendakan kata-kata Nabi Musa (a.s.). Dalam usaha untuk menimbulkan keraguan terhadap kebenaran kata-kata Nabi Musa (a.s.), beliau telah memerintahkan pembesarnya yang bernama Hamman supaya membina sebuah binaan yang tinggi menjulang ke langit untuk mencari Tuhan Nabi Musa (a.s.). Setelah itu, Firaun menaiki tangga tersebut lalu memanah ke langit. Menurut riwayat ini lagi, apabila anak panah itu kembali kepadanya, anak panah tersebut dipenuhi dengan darah. Firaun kemudian mendakwa bahawa beliau telah membunuh Tuhan Nabi Musa (a.s.).

Cerita ini jelas bertentangan dengan tafsiran yang dibuat oleh para ahli tafsir yang muktabar. Menurut tafsiran mereka, ayat 38, surah al-Qasas ini adalah menceritakan tentang keangkuhan Firaun yang mengaku dirinya sebagai Tuhan serta berlaku zalim terhadap rakyatnya. Justeru itu, apabila Nabi Musa (a.s.) mendakwa ada Tuhan selain daripadanya, dia berasa tercabar lalu memerintahkan pembesarnya untuk membina sebuah binaan yang tinggi menjulang ke langit. Tujuannya adalah untuk mencari Tuhan Nabi Musa (a.s.). Sebenarnya, katakata Firaun ini bukanlah menunjukkan kesungguhannya melainkan sekadar hanya untuk mempersendakan Tuhan Nabi Musa (a.s.) dan pada masa yang sama bertujuan untuk menimbulkan keraguan di kalangan rakyatnya terhadap kebenaran dakwaan Nabi Musa (a.s.).

Namun begitu, tidak ada riwayat yang menyatakan bahawa Firaun telah naik ke langit untuk mencari Tuhan Nabi Musa (a.s.) dan memanah ke langit lalu apabila anak panah itu kembali kepada Firaun, anak panah itu berlumuran darah sebagaimana yang didakwa oleh pengarang kitab Tafsir Anwar Baidhawi. Hal ini jelas membuktikan kepalsuan cerita ini.

Sayyid Qutb (1974: 67) dalam mentafsirkan ayat ini menyatakan bahawa Allah telah menceritakan tentang Firaun yang telah menyeru kepada pembesarnya dengan menyatakan: “Wahai pembesar-pembesarku, setahu aku kamu tidak mempunyai Tuhan yang lain selain daripadaku”. Kata-kata Firaun ini berlandaskan kisah dongeng yang terkenal di Mesir dalam menghubungkan raja-raja dengan tuhan-tuhan dan juga berdasarkan kuasa paksaan yang tidak membenarkan para hambanya berfikir dan bercakap. Mereka sedar bahawa Firaun hanya seorang manusia sama seperti mereka yang akan hidup dan mati, namun apabila Firaun mengeluarkan kata-kata seperti ini, mereka hanya mampu mendengar tetapi tidak mampu membantah.

Kemudian dia berpura-pura menunjukkan kesungguhan hendak mengetahui hakikat yang sebenar dengan mencari Tuhan Musa (a.s.), sedangkan tujuannya yang sebenar adalah untuk mengejek dan menyenda. Katanya: “Wahai Hamman! Bakarlah untukku tanah liat, kemudian binakan untukku satu bangunan yang tinggi supaya aku dapat naik melihat Tuhan Musa di langit”. Kemudian dengan kata-kata mengejek pula dia berpura-pura meragui kebenaran Musa, tetapi dia terus mencari dan menyiasat untuk mendapatkan hakikat sebenar.

Menurut pendapat Ibn Kathir (1966: 282-283 ) pula, ayat 38, surah al-Qasas ini menjelaskan tentang gaya hidup Firaun yang sombong dan kejam terhadap rakyatnya. Tidak cukup dengan itu, beliau turut mengingkari kenabian Nabi Musa (a.s.) dan menganggap dirinya sebagai Tuhan yang wajib disembah oleh manusia. Beliau berkata: Wahai sekalian rakyatku, aku tidak mengetahui dan mengenal Tuhan bagimu selain aku dan aku telah memerintahkan kepada Hamman supaya membina sebuah gedung yang tinggi menjulang ke langit agar aku dapat melihat Tuhan Musa. Aku yakin bahawa dia adalah seorang pendusta yang mengatakan ada Tuhan selain aku serta menyuruh sekelian kamu menyembah Tuhannya itu.

Dalam pada itu, al-Maraghi berpendapat bahawa kata-kata Firaun itu secarazahirnya menunjukkan kebijaksanaannya. Beliau berharap dengan kata-kata itu rakyatnya akan menerima dirinya sebagai Tuhan. Ada dua kalimah yang diucapkan oleh Firaun iaitu: “Aku tidak mengetahui ada Tuhan bagi kalian selain aku” dan “Akulah Tuhan kalian yang maha tinggi”. Maksudnya Firaun menganggap tidak ada Tuhan selainnya tetapi rakyatnya menyembah Tuhan Musa dan membenarkan kata-kata yang dibawa oleh Nabi Musa (a.s.). Bagaimanapun, menurut ar-Razi seperti yang dinukilkan oleh al-Maraghi berhubung ayat 38, surah al-Qasas ini, pengakuan Firaun sebagai Tuhan tidak bermaksud bahawa beliau mengaku dirinya sebagai pencipta langit, bumi, laut, gunung dan manusia kerana baginya, setiap orang yang berakal sudah tentu mengetahui hal itu. Tetapi yang dimaksudkan oleh beliau ialah kewajipan menyembah kepadanya.



KESIMPULAN

Kitab Tafsir Anwar Baidhawi adalah sebuah kitab yang mengandungi banyak kisah-kisah Isra’iliyyat. Apa yang dibincangkan dalam artikel ini hanyalah sebahagian kecil daripadanya sahaja. Kisah-kisah Israiliyyat adalah kisah-kisah yang bukan sahaja boleh merosakkan tafsiran yang sahih, malah ia juga boleh mencetuskan kekeliruan di kalangan umat Islam. Bagaimanapun, kitab Tafsir Anwar Baidhawi ini adalah antara kitab tafsir dalam bahasa Melayu yang banyak digunapakai oleh masyarakat Melayu dalam usaha mereka untuk memahami tafsir kitab Allah (s.w.t.).

Sebagai cadangan bagi menangani isu kekeliruan di kalangan umat Islam, penjelasan atau tafsiran hendaklah disertakan sama ada di akhir kisah-kisah tersebut bagi menyatakan bahawa apa yang diriwayatkan tersebut adalah dari periwayatan Israiliyyat, atau yang paling baik pengarang tidak menukilkan atau memasukkan kisah-kisah tersebut di dalam kitab-kitab tafsiran mereka. Cadangan ini perlu diberi perhatian dan diambil tindakan oleh semua pihak yang terlibat dalam pentafsiran kitab Allah (s.w.t.). Ini adalah kerana golongan sasaran yang akan membaca kitab-kitab tafsir mereka adalah mungkin terdiri daripada kalangan orang Melayu yang tidak mempunyai pengetahuan mengenai Israiliyyat yang menyebabkan mereka menyangka bahawa itulah tafsiran sebenar terhadap kisah-kisah yang terdapat di dalam al-Quran.



RUJUKAN

Abdul Malik Abdul Karim Amrullah, Haji. 1999. Tafsir Al-Azhar. Singapura: Pustaka Nasional PTE LTD.

Abdullah Basmeih. 1980. Tafsir Pimpinan Al-Rahman. Kuala Lumpur: Darulfikr.

Al-Bukhari, Abu Abdullah Muhammad B. Ismail. T.Th. Matan Al-Bukhari Bi Hasyiah Al- Sindi. Misr: Mitbaah Faisal Isa Al-Babi Al-Halabi.

Al-Fansuri, Abd. Rauf Bin Muhammad Ali. T.Th. Tafsir Anwar Al-Baidhawi. Thailand: Maktabah Wa Mitbaah Muhammad Nahdi Wa Awladuh.

Al-Maraghi, Ahmad Mustafa. 1974. Tafsir Al-Maraghi. Beirut: Dar Al-Carabiyyah.

Al-Qurtubi, Abi Abdullah Muhammad Bin Ahmad Al-Ansari. T.Th. Al-Jamic Al-Ahkam Al- Qur’an. Qaherah: Dar Al-Bayan Li Al-Turath.

Al-Suyuti, Cabdul Rahman Jalaluddin. 1983. Al-Darul Al-Mansur Fi Tafsir Al-Qur’an . Lubnan: Dar Al-Fikr.

Ibn Kathir, Ismail Bin Kathir Al-Qurasyi Al-Dimasyqi. 1970. Tafsir Al-Qur’an Al-Cazim. Beirut: Dar Al-Fikr.

Ibn Khaldun. Abd Al-Rahman B. Khaldun Al-Maghribi. 1968. Muqaddimah Ibn Khaldun. Beirut: Dar Maktabah Al-Hayat.

Mahayuddin Hj. Yahya. 1986. Ensiklopedia Sejarah Islam. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.

Muhammad B. Muhammad Abu Shahbah. 1408H. Al-Israiliyyat Wa Al-Mawducat Fi Kutub Al-Tafsir. Qaherah: Maktabah Al-Sunnah.
Muhammad Hussin Al-Zahabi. 1990. Al-Israiliyyat Fi Al-Tafsir Wa Al-Hadith. Qaherah: Maktabah Wahbah.

Muhammad Hussin Al-Zahabi. T.Th. Al-Tafsir Wa Al-Mufassirun. Qaherah: Maktabah Wahbah.

Rozali Adam. 1985. Al-Quran Di Antara Tafsir Dan Isra’iliyyat. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka.

Sayyid Qutb. 1994. Fi Zilal Al-Qur’an. Beirut: Dar Al-Shuruq.


LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...