Dragonball Online Mouse Pointer Blue

Pages

Followers

26 November 2011

SEJARAH PENGUMPULAN AL-QURAN PADA ZAMAN KHALIFAH USMAN. ( nota ppismp )

SEJARAH PENGUMPULAN AL-QURAN PADA ZAMAN KHALIFAH USMAN.

           Pada zaman usman , penyebaran Islam bertambah dan para qurra pun tersebar di berbagai-bagai wilayah, dan penduduk di setiap wilayah itu mempelajari qira'at (bacaan) dari qari yang dikirimkan kepada mereka. Cara-cara pembacaan (qiraat) al-Quran yang mereka bawakan berbeza-beza dengan perbezaan 'huruf '  dengan al-Quran diturunkan. Apabila mereka berkumpul disuatu pertemuan atau disuatu medan peperangan, sebahagian mereka merasa hairan dengan adanya perbezaan qiraat ini. Terkadang sebahagian mereka merasa puas, kerana mengetahui bahawa perbezaan-perbezaan itu semuanya disandarkan kepada Rasulullah. Tetapi keadaan demikian bukan bererti tidak akan  mempunyai keraguan kepada generasi baru yang tidak melihat Rasulullah sehingga terjadi perbicaraan bacaan mana yang elok dan mana yang tidak elok. Dan pada gilirannya akan menimbulkan dan saling bertentangan apabila terus tersebar. Bahkan akan menimbulkan permusuhan dan perbuatan dosa. Fitnah yang demikian ini harus segera diselesaikan.

            Ketika terjadi perang Armenia dan Azarbaijan dengan penduduk Iraq, di antara orang yang ikut menyerbu kedua tempat itu ialah Huzaifah bin al-Yaman. Beliau  banyak melihat perbezaan dalam cara-cara membaca al-Quran. Sebahagian bacaan itu bercampur dengan kesilapan, tetapi masing-masing mempertahankan dan berpegang pada bacaannya, serta menentang setiap orang yang menyalahi bacaannya dan bahkan mereka saling mengkafirkan di antara satu sama lain. Melihat kenyataan demikian Huzaifah segara menghadap Usman dan melaporkan kepadanya apa yang telah dilihatnya. Usman juga memberitahu kepada Huzaifah bahawa sebahagian perbezaan itu pun akan terjadi pada orang-orang yang mengajarkan Qiraat pada anak-anak. Anak-anak itu akan lahir, sedangkan diantara mereka terdapat perbezaan dalam qiraat. Para sahabat amat perihatin akan kenyataan ini kerana takut kalau-kalau perbezaan itu akan menimbulkan penyimpangan dan perubahan. Mereka bersepakat untuk menyalin lembaran-lembaran yang pertama yang ada pada Abu Bakar dan menyatukan umat islam pada lembaran-lembaran itu dengan bacaan tetap pada satu huruf.

          Usman kemudian mengirimkan utusan kepada Hafsah (untuk meminjamkan mushaf Abu Bakar yang ada padanya) dan Hafsah pun mengirimkan lembaran-lembaran itu kepadanya. Kemudian Usman memanggil Zaid bin Thabit al-Ansari, Abdullah bin Zubair, Said bin 'As, dan Abdurrahman bin Haris bin Hisyam. Ketiga orang terakhir ini adalah orang Quraisy, lalu memerintahkan mereka agar menyalin dan memperbanyak mushaf, serta memerintahkan pula agar apa yang diperselisihkan Zaid dengan ketiga orang quraisy itu ditulis dalam bahasa Quraisy, kerana al-Quran turun dengan lohgat mereka.

         
          Mereka melakukan perintah itu. Setelah mereka selesai menyalinnya menjadi beberapa mushaf, Usman mengembalikan lembaran-lembaran asli itu kepada Hafsah. Kemudian Usman mengirimkan kesetiap wilayah mushaf baru tersebut dan memerintahkan agar semua al-Quran atau mushaf selainnya dibakar. Beberapa naskhah yang kemudiannya dihantar ke Makkah, Syria, Basrah, Kufah dan satu lagi disimpan oleh Usman sendiri. Zaid berkata, "Ketika kami menyalin mushaf, saya teringat akan satu ayat dari surah al-Ahzab yang pernah aku dengar dibacakan oleh Rasulullah; maka kami mencarinya, dan aku dapatkan pada Khuzaimah bin Sabit al-Ansari, ayat itu ialah:

"Di antara orang-orang mu'min itu ada orang-orang yang menepati apa yang telah mereka janjikan kepada Allah." (al-Ahzab: 23)

lalu kami tempatkan ayat ini pada surah tersebut dalam mushaf."

        

Dikatakan oleh Ibn Jarir: 'Ya'kub bin Ibrahim berkata kepadaku: Ibn 'Ulyah menceritakan kepadaku: Ayyub mengatakan kepadaku: bahawa Abu Qalabah berkata: Pada masa kekhalifahan Usman telah terjadi seorang guru qiraat mengajarkan qiraat kepada seseorang, dan guru qiraat lain mengajarkan qiraat pada orang lain. Dua kelompok anak-anak yang belajar qiraat itu suatu ketika bertemu dan mereka berselisih, dan hal demikian ini menjalar juga kepada guru-guru tersebut.' Kata Ayyub: aku tidak mengetahui kecuali ia berkata: 'sehingga mereka saling mengkafirkan satu sama lain kerana perbezaan qiraat itu,' dan hal itu akhirnya sampai pada khalifah Usman. Maka ia berpidato: 'Kalian yang ada di hadapanku telah berselisih faham dan salah dalam membaca al-Quran. Penduduk yang jauh dari kami tentu lebih besar lagi perselisihan dan kesalahannya. Bersatulah wahai sahabat-sahabat Muhammad, tulislah untuk semua orang satu imam (mushaf al-Qur'an pedoman) saja!'

        Abu Qalabah berkata: Anas bin Malik bercerita kepadaku, katanya : 'Aku adalah salah seorang di antara mereka yang disuruh menuliskan,' kata Abu Qalabah: Terkadang mereka berselisih tentang satu ayat, maka mereka menanyakan kepada seseorang yang telah menerimanya dari Rasulullah. Akan tetapi orang tadi mungkin tengah berada di luar kota, sehingga mereka hanya menuliskan apa yang sebelum dan yang sesudah serta membiarkan tempat letaknya, sampai orang itu datang atau dipanggil. Ketika penulisan mushaf telah selesai, Khalifah Usman menulis surat kepada semua penduduk daerah yang disisinya: 'Aku telah melakukan yang demikian dan demikian. Aku telah menghapuskan apa yang ada padaku, maka hapuskanlah apa yang ada padamu.'

         Ibn Asytah meriwayatkan melalui Ayyub dari Abu Qalabah, keterangan yang sama. Dan Ibn Hajar menyebutkan dalam al-Fath bahawa Ibn Abu Daud telah meriwayatkannya pula melalui Abu Qalabah dalam al-Masahif.

         Suwaid bin Gaflah berkata: 'Ali mengatakan: 'Katakanlah segala yang baik tentang Usman. Demi Allah apa yang telah dilakukannya mengenai mushaf-mushaf al-Quran sudah atas persetujuan kami. Usman berkata : 'Bagaimana pendapatmu tentang qiraat ini? Saya mendapat berita bahawa sebahagian mereka mengatakan bahawa qiraatnya lebih baik dari qiraat orang lain. Ini telah mendekati kekafiran. Kami berkata: 'Bagaimana pendapatmu? Ia menjawab: 'Aku berpendapat agar manusia bersatu pada satu mushaf, sehingga tidak terjadi lagi perpecahan dan perselisihan, kami berkata: Baik sekali pendapatmu itu.

        Keterangan ini menunjukkan bahawa apa yang dilakukan Usman itu telah disepakati oleh para sahabat. Mushaf-mushaf itu ditulis dengan satu huruf (dialek) dari tujuh huruf al-Quran seperti yang diturunkan agar orang bersatu dalam satu qiraat. Dan Usman telah mengembalikan lembaran-lembaran yang asli kepada Hafsah, lalu dikirimkannya pula pada setiap wilayah iaitu masing-masing satu mushaf. Dan ditahannya satu mushaf untuk di Madinah, iaitu mushafnya sendiri yang dikenal dengan nama "Mushaf Imam".

          Penamaan mushaf itu sesuai dengan apa yang terdapat dalam riwayat-riwayat dimana ia mengatakan: " Bersatulah wahai umat-umat Muhammad, dan tulislah untuk semua orang satu imam (mushaf al-Quran pedoman)." Kemudian ia memerintahkan untuk membakar mushaf yang selainnya. Umat pun menerima perintah dengan patuh, sedang qiraat dengan enam huruf lainnya ditingalkan. Keputusan ini tidak salah, sebab qiraat dengan tujuh huruf itu tidak wajib. Seandainya Rasulullah mewajibkan qiraat dengan tujuh huruf itu semua, tentu setiap huruf harus disampaikan secara mutawatir sehingga menjadi hujah. Tetapi mereka tidak melakukannya. Ini menunjukkan bahawa qiraat dengan tujuh huruf itu termasuk dalam kategori keringanan. Dan bahawa yang wajib ialah menyampaikan sebahagian dari ketujuh huruf tersebut secara mutawatir dan inilah yang terjadi.

        Ibn Jarir mengatakan berkenaan dengan apa yang telah dilakukan oleh Usman: 'Ia menyatukan umat islam dengan satu mushaf dan satu huruf, sedangkan mushaf yang lain dibubar. Ia memerintahkan dengan tegas agar setiap orang yang mempunyai mushaf "berlainan" dengan mushaf yang disepakati itu membakar mushaf tersebut, umat pun menyokongnya dengan taat dan mereka melihat bahawa dengan begitu Usman telah bertindak sesuai dengan petunjuk dan sangat bijaksana. Maka umat meninggalkan qiraat dengan enam huruf selainnya sesuai dengan permintaan pemimpinnya yang adil itu sebagai bukti ketaatan umat kepadanya dan kerana pertimbangan demi kebaikan mereka dan generasi sesudahnya. Dengan demikian segala qiraat yang lain sudah dimusnahkan dan bekas-bekasnya juga sudah tidak ada. Sekarang sudah tidak ada jalan bagi orang yang ingin membaca dengan ketujuh huruf itu dan kaum muslimin juga telah menolak qiraat dengan huruf-huruf yang lain tanpa mengingkari kebenarannya atau sebahagian daripadanya, tetapi hal itu bagi kebaikan kaum muslimin itu sendiri. Dan sekarang tidak ada lagi qiraat bagi kaum muslimin selain qiraat dengan satu huruf yang telah dipilih olah imam mereka yang bijaksana dan tulus hati itu. Tidak ada lagi qiraat dengan enam huruf selainnya.

         Apabila sebahagian orang lemah pengetahuan berkata: Bagaimana mereka boleh meninggalkan qiraat yang telah dibacakan oleh Rasulullah dan diperintahkan pula membaca dengan cara itu? maka jawabnya ialah: 'Sesungguhnya perintah Rasulullah kepada mereka untuk membacanya itu bukanlah perintah yang menunjukkan wajib dan fardu, tetapi menunjukkan kebolehan dan keringanan (rukshah). Sebab andai kata qiraat dengan tujuh huruf itu diwajibkan kepada mereka, tentulah pengetahuan tentang setiap huruf dari ketujuh huruf itu wajib pula bagi orang yang mempunyai hujah untuk menyampaikannya, bertanya harus pasti dan keraguan harus dihilangkan dari para qari. Dan kerana mereka tidak menyampaikan hal tersebut, maka ini merupakan bukti bahawa dalam masalah qiraat mereka boleh memilih, sesudah adanya orang yang menyampaikan al-Quran dalam kalangan umat dan penyampaiannya menjadi hujah bagi sebahagian ketujuh huruf itu.

           Jika memang demikian halnya maka mereka tidak dipandang telah meninggalkan tugas menyampaikan semua qiraat yang tujuh tersebut, yang menjadi kewajipan bagi mereka untuk menyampaikannya. Kewajipan mereka ialah apa yang sudah mereka kerjakan itu. Kerana apa yang telah mereka lakukan tersebut ternyata sangat berguna bagi Islam dan kaum muslimin. Oleh itu, menjalankan apa yang menjadi kewajipan mereka sendiri lebih utama daripada melakukan sesuatu yang lebih kepada bencana terhadap Islam dan pemeluknya daripada menyelamatkannya."



SEBAB-SEBAB USMAN MENGUMPULKAN AL-QURAN.
Diriwayatkan oleh Imam Bukhari dari Anas bin Malik r.a, dia berkata:
    “Sesungguhnya Khudzaifah bin Yaman datang kepada Usman. Ketika itu beliau sedang mempersiapkan penduduk Syam dan Irak berperang menggempurkan Armenia dan Azerbijan. Khudzaifah tercengan melihat pertengkaran mereka dalam soal qiraah. Dia berkata kepada Usman, “ wahai Amirul Mukminin, tolonglah umat ini sebelum mereka pertengkaran mereka dalam soal qiraah. Dia berkata kepada Usman “ wahai Amirul Mukminin, tolonglah umat ini sebelum mereka bertengkar soal kitab sebagaimana pertengkaran orang yahudi dan nasrani. Kemudian Usman kirim surah kepada Hafsah, “ hendaklah kamu serahkan mushaf kepadaku untuk aku salin menjadi beberapa mushaf dan aku akan kembalikan lagi kepadamu.” Maka Hafsah segera mengirimkan mushaf kepada Usman. Lalu beliau memerintahkan Zaid bin Tsabit, Abdul Rahman bin Zubair, Sa’id bin ‘Ash dan Abdul Rahman bin Harits ibnu Hisyam, maka mereka menyalinnya menjadi beberapa mushaf. Kemudian Usman berkata kepada tiga kelompok suku Quraisy itu, “jika kamu berbeza pendapat dengan Zaid bin Tsabit dalam hal al-Quran, hendaklah kamu menulisnya dengan lisan Quraisy. Mereka melakukannya dan setelah menyalin mushaf itu menjadi beberapa salinan, Usman segera mengembalikan mushaf itu kepada Khofshoh dan sekaligus mengirimkan salinan mushaf ke seluruh penjuru disamping memerintahkan agar selain mushaf itu baik berupa lampiran atau mushaf, dibakar sahaja.”
( hadis riwayat Bukhari )

22 November 2011

khalifah harun ar-rasyid ( nota ppismp )

BIODATA HARUN AR-RASYID (61-101 H/ 681-720 M)

Nama penuh Harun ar-Rasyid ialah Harun ar-Rasyid bin Muhammad al-Mahdi. Beliau dilahirkan di Ar-Rayy pada bulan Zulhijjah tahun 145 H bersamaan 756 M.  Beliau telah menggantikan saudaranya iaitu al-Hadi sebagai khalifah Baghdad yang kelima dalam pemerintahan Abbasiyah.   Beliau merupakan anak yang ketiga dalam keluarga.  Sejak dari awal lagi, beliau  dikenali sebagai  seorang yang pintar dan sukakan ilmu pengetahuan.  Tidak hairanlah jika beliau dilihat sebagai seorang yang mempunyai keperibadian yang tinggi serta banyak pengalaman sama ada dalam bidang politik, ketenteraan mahupun dalam bidang pentadbiran awam.  Peranan beliau yang paling besar ialah sebagai penaung kepada semua kegiatan ilmu. Baitul Hikmah merupakan hasil usahanya yang paling besar dalam dunia penyebaran ilmu pengetahuan di Kota Baghdad..



KEBERKESANAN PEMERINTAHAN KHALIFAH HARUN AL-RASYID

Populariti daulah Abbasiyah mencapai kemuncaknya di zaman khalifah Harun al-Rasyid Rahimahullah (786-809 M).  Ini kerana keberkesanan sistem pemerintahan yang telah dilakukan oleh khalifah Harun al-Rasyid dalam pentadbirannya.

Antara keberkesanannya dari segi sosial ialah, kekayaan yang banyak dimanfaatkan Harun al-Rasyid Rahimahullah untuk keperluan sosial seperti membina rumah sakit, lembaga pendidikan doktor, dan farmasi pada zaman pemerintahannya. Keadaan tersebut telah menjadikan pembangunan dan teknologi umat Islam pada masa itu semakin maju dan berkembang.

Kemudian, pembinaan Baitulhikmah  yang merupakan sebuah institusi keilmuan yang ditubuhkan oleh khalifah Harun al- Rashid turut berkembang secara meluas dan mencapai kegemilangannya pada zaman pemerintahan Khalifah al- Makmun. Hasilnya, aktiviti penterjemahan dijalankan dengan pesat dan mencapai kemuncaknya dan kerja-kerja penterjemahan menjadi lebih sistematik. Penterjemah juga bekerja secara berkumpulan di bawah kawalan seorang penyelaras. Penterjemahan karya falsafah dan sains, khususnya daripada bahasa Yunani menjadi kegiatan utama.selain itu, ianya juga menjadi pusat pengajian yang menjadi tumpuan para ilmuwan dalam pelbagai bidang.

Keberkesanan pemerintahannya dalam bidang penulisan pula  boleh dilihat melalui tiga tahap. Tahap yang pertama ialah mencatat segala percakapan atau idea. Beliau mengumpul idea yang serupa atau mengumpul hadis Nabi Muhammad s.a.w. ke dalam sebuah buku. Tahap yang kedua pula mengarang. Terdapat golongan  ulama yang terlibat dalam penulisan pada zaman pemerintahannya. Ramai ulama menyusun hadis dan menghasilkan tulisan dalam bidang fikah, tafsir, sejarah, dan sebagainya seperti Imam Malik  menyusun buku al- Muwatta’, Ibn Ishaq  menyusun sejarah hidup Nabi Muhammad s.a.w., Abu Hanifah  menyusun fikah dan pendapat ijtihad.

Tahap ketiga pula ialah penterjemahan. Penterjemahan pada masa itu mula dibuat daripada bahasa Sanskrit, Suriani, dan Yunani kepada Bahasa Arab. Dua perkara penting berkaitan dengan penterjemahan ialah, di samping menterjemah, orang Islam mencipta dan membuat pembaharuan dalam karya yang diterjemahkan ke dalam bahasa Arab. Huraian dan penambahbaikan dibuat terhadap karya dengan memuatkan keterangan dan ulasan. Selain itu,Orang Islam berperanan penting dalam berbakti kepada kebudayaan dunia kerana mereka berjaya memelihara warisan ilmu daripada lenyap semasa masyarakat Eropah dilanda Zaman Gelap.

Penubuhan pusat pengajian tinggi dapat mempertingkatkan kegiatan penyelidikan. Hasil kajian sarjana Islam tersebar ke Eropah dan sejumlah hasil kajian diterjemahkan ke dalam bahasa asing. Perkembangan ini membawa kepada kebangkitan Eropah. Zaman pemerintahan beliau juga merupakan zaman perkembangan keilmuan Islam. Perkembangan tamadun Islam di Kota Baghdad dan Cordova memberi sumbangan yang besar kepada perkembangan keilmuan di Eropah dan perkembangan keilmuan di Eropah melahirkan zaman pemulihan budaya atau Renaissance.

Penulisan karya dalam pelbagai bidang oleh para ilmuan Islam telah mempertingkatkan pengetahuan manusia sezaman dan meninggalkan warisan yang amat ternilai kepada generasi kemudian. Kegigihan masyarakat Islam menimba ilmu daripada pelbagai sumber asing banyak memberi faedah kepada orang Islam sendiri. Para ilmuan Islam telah memperbaiki dan meningkatkan mutu karya sehingga berlakunya percambahan dan perkembangan ilmu pengetahuan. Hasilnya, pada zaman pemerintahannya itu sudah terdapat sekitar 800 orang doktor.

Begitulah keberkesanan sistem pemerintahan yang telah berlaku pada zaman khalifah Harun al-Rasyid yang dikenali sebagai zaman keemasan Islam. Kemajuan pembangunan dan teknologi pada zaman itu seperti kesejahteraan, sosial, kesihatan, pendidikan, ilmu pengetahuan, dan kebudayaan serta kesusasteraan berada pada zaman keemasannya. Pada masa inilah negara Islam menempatkan dirinya sebagai negara terkuat dan tidak dapat ditandingi.

Antara sumbangan Khalifah Harun Ar-Rasyid ialah:

•    Pendidikan.    
Khalifah harun ar-Rasyid dikenali sebagai tokoh negarawan terulung kerana usaha beliau dalam penyebaran ilmu pengetahuan.  Oleh kerana itulah, beliau membuka Baitul Hikmah iaitu institusi kebudayaan dan pusat kegiatan ilmu pengetahuan.  Seseorang khalifah sememangnya seorang yang bijak dan berpengetahuan.  Dalam mentadbir sesebuah negara, beliau harus tahu bagaimana caranya untuk mentadbir sebuah negara agar dapat menjadi sebuah negara yang aman dan makmur.  Disamping itu juga, seseorang khalifah harus tahu untuk membangunkan dan memajukan negara agar menjadi sebuah negara yang maju dalam pelbagai bidang sama ada ekonomi, politik mahupun sosial.  Ilmu pengetahuan sangat penting yang seharusnya ada dalam diri seorang khalifah.   Beliau juga mempunyai pengalaman yang cukup luas dalam mentadbir Kota Baghdad selama 23 tahun. 
   
   
•    Pentadbiran
Keberanian seseorang khalifah juga amat penting untuk mentadbir sesebuah negara agar menjadi sebuah negara yang aman.  Tanpa ilmu pengetahuan yang cukup, sseorang khalifah tidak akan mampu membawa tentera-tenteranya dalam memerangi musuh untuk mendapatkan keamanan dan kemakmuran.  Khalifah Harun ar-Rasyid sendiri begitu cekap dalam menguruskan pentadbiran negara.  Beliau telah dapat  membanteras segala kekacauan dan pemberontakan di dalam negaranya dengan pelbagai rintangan dan dugaan.  Akhirnya, beliau telah berjaya dalam peperaangan tersebut kerana usaha yang dilakukan berhasil antara usaha beliau ialah dengan menyusun semula pasukan tenteranya  agar menjadi sebuah pasukan tentera yang berdisiplin dan teratur.  Beliau begitu mengambil berat terhadap kredibiliti tentera-tenteranya dan juga memberi perlindungan serta keselamatan untuk kesejahteraan rakyatnya. 
   
•    Kemajuan Intelektual
Kemajuan intelektual yang dicapai oleh Khalifah Harun ar-Rasyid juga adalah salah satu sumbangan yang besar diberikan oleh baginda.  Terdapat buku-buku yang berupa terjemahan ilmu dari luar ataupun disusun oleh intelektual Islam tergolong dalam kemajuan intelektual.  Beliau dianggap sebagai penaung bagi semua kegiatan ilmu pengetahuan kerana beliau sering kali menganjurkan majlis forum, syarahan dan perbahasan, yang mana akan dihadiri oleh orang ramai dan golongan intelektual di masjid.  Pada majlis seperti inilah, beliau dapat mengenali lebih ramai ilmuan yang datang untuk menuntut ilmu daripadanya.  Sebagai seorang khalifah, beliau seharusnya mampu melaksanakan kewajipan dalam menyebarkan ilmu pengetahuan kepada semua masyarakat dalam negaranya. 

•    Ekonomi
Pertumbuhan ekonomi yang pesat juga telah banyak dibuat oleh Khalifah Harun ar-Rasyid.  Malah, beliau sendiri telah menjadi simbol kemegahan Islam di Timur dan Barat.  Terdapat banyak kota seperti Baghdad, Basrah, Masyul, Damsyik dan Aleppo muncul sebagai kota yang terkenal.  Banyak perubahan yang dilakukan oleh beliau dalam membangunkan ekonomi dengan melakukan aktiviti perdagangan, perniagaan dan membawa pedagang-pedagang asing untuk berniaga di Kota Baghdad.  Disebabkan usaha inilah, ramai pedagang-pedagang asing yang datang membawa barangan mereka untuk diniagakan di Kota Baghdad.  Bahkan, bukan sahaja pedagang-pedagang asing yang datang berniaga, penduduk di Kota Bahgdad sendiri melakukan aktiviti perniagaan sesama mereka.



•    Hubungan diplomatik   
Beliau juga mengadakan hubungan yang baik dengan kuasa-kuasa asing, antaranya kerajaan Byzantium, Peranchis dan keluarga al-Barmaki.  Perhubungan ini bertujuan untuk pendamaian antara kedua-dua belah pihak melalui pembayaran ufti antara Kota Bahgdad dengan kerajaan Byzantium.  Hubungan yang baik dengan Kristian-Peranchis adalah kerana mereka sama-sama mempunyai musuh yang sama iaitu kerajaan Bani Umayyah.  Kedua-dua buah kerajaan ini sentiasa bertukar duta dan kemudiannya diikuti oleh pemimpin mereka iaitu Khalifah Harun ar-Rasyid sendiri dan Charlemange.  Malah, kerajaan Peranchis begitu menghormati dan meniru dasar pentadbiran kerajaan  Abbasiyah bertujuan untuk kebaikan negara mereka sendiri.   Manakala keluarga al-Barmaki pula sangat terpengaruh dalam pentadbiran mereka. Mereka memegang banyak jawatan yang penting seperti wazir hinggalah kepada gabenor daerah.  Disebabkan itu, hubungan antara kerajaan Abbasiyah tidak begitu baik dengan keluarga al-Barmaki.

    
•    Baitul hikmah
Satu lagi sumbangan Khalifah ar-Rasyid yang sangat besar kepada kerajaan Abbasiyah ialah dengan tertubuhnya Baitul Hikmah. Sikap prihatin beliau dalam bidang ilmu pengetahuan mendorong beliau untuk menubuhkan institusi itu sebagai satu tempat penyebaran ilmu pengetahuan.  Semua kegiatan keilmuan ini merupakan satu usaha yang cemerlang dilakukan oleh beliau ketika mentadbir kerajaan Abbasiyah.  Baitul Hikmah ini juga menggabungkan pelbagai fungsi antaranya ialah sebagai tempat penyimpanan buku-buku, pengumpulan buku, perpustakaan, pusat akademik dan balai penterjemahan.  Ia juga merupakan lambang pendidikan yang terpenting dan telah dapat menandingi kemasyhuran Perpustakaan Iskandariah.  Kerana tanggungjawab beliau sebagai seorang khalifah, beliau begitu gigih dalam memperkembangkan ilmu pengetahuan.

21 November 2011

khalifah umar abdul aziz ( nota ppismp )

BIODATA UMAR IBN ABD AL-AZIZ (61-101 H/ 681-720 M)

Umar Ibn Abd al-Aziz adalah khalifah yang adil sehingga diberi gelaran khulafa’ al-Rasyidin yang kelima. Nama penuhnya ialah Abu Hafs, Umar ibn Abd al-Aziz ibn Marwan ibn al-Hakam al-Umawiy al-Qurashiy. Dia ialah seorang daripada khalifah kerajaan Bani Umayyah di Syam. Datuk sebelah ibunya ialah Umar ibn al-Khattab.

Diriwayatkan daripada Umar: “Bahawasanya Abdul Rahman bin Syurahbil suatu hari telah bercerita: “Ada seorang lelaki bermimpi pada malam kelahiran Umar bin Abdul Aziz atau pada malam pertabalan beliau menjadi khalifah, melihat seseorang sedang berdiri di antara langit dan bumi sambil berteriak dengan katanya: “Akan muncul dari kalangan engkau seorang yang peramah, pembela hak dan kebenaran dan seorang yang akan menzahirkan amalan soleh  pada diri orang yang sembahyang.” Tanya lelaki itu: Siapakah gerangan orang itu?” Lelaki yang berteriak itu pun turun ke bumi dan menggoreskan pada permukaan bumi huruf-huruf (‘ain mim ra’.)

Umar ibn Abd al-Aziz lahir di Madinah al-Munawwarah. Semasa bapanya dilantik sebagai pemerintah di Mesir, dia turut dibawa bersama dan menghafal al-Quran di sana. Kemudian bapanya telah menghantarnya ke Madinah semula untuk mempelajari ilmu agama dan mendalami ilmu sastera.

Khalifah Abd al-Malik ibn Marwan telah mengahwinkan anaknya Fatimah dengan Umar dan melantiknya sebagai penyelia perusahaan susu selama dua tahun. Kemudian dia dipilih oleh Khalifah al-Walid ibn Abd al-Malik sebagai pengusaha di Madinah al-Munawwarah pada tahun 87H/ 705M. Kemudian kuasanya diperluaskan sehingga meliputi Makkah dan Ta’if dan seterusnya menjadi pemerintah seluruh Hijjaz pada tahun 93H/711M. Namun, dia akhirnya dilucutkan dari jawatan itu disebabkan satu fitnah yang mengatakan dia melindungi orang yang lari daripada pengadilan yang dilemparkan terhadapnya oleh Hajjaj ibn Yusuf, gabenor Iraq.


•    Pendidikan
Beliau telah menghafaz al-Quran sejak masih kecil lagi. Merantau ke Madinah untuk menimba ilmu pengetahuan. Beliau telah berguru dengan beberapa tokoh terkemuka seperti Imam Malik b. Anas, Urwah b. Zubair, Abdullah b. Jaafar, Yusuf b. Abdullah dan sebagainya. Kemudian beliau melanjutkan pelajaran dengan beberapa tokoh terkenal di Mesir. Beliau telah dipanggil balik ke Damsyik oleh Khalifah Abdul Malik b. Marwan apabila bapanya meninggal dunia dan dikahwinkan dengan puteri Khalifah, Fatimah bte Abdul Malik (sepupunya).

•    Sifat-Sifat Peribadi
Beliau mempunyai keperibadian yang tinggi, disukai ramai dan warak yang diwarisi dari datuknya Saidina Umar bin Al-Khatab. Baginda amat berhati-hati dengan harta terutamanya yang melibatkan harta rakyat. Sesungguhnya kisah Khalifah Umar bin Abdul Aziz yang menyediakan dua lilin di rumahnya, satu untuk kegunaan urusan negara dan satu lagi untuk kegunaan keluarga sendiri tentunya telah diketahui umum dan tidak perlu diulang-ulang.

Sebagai seorang yang zuhud, kehidupannya semasa menjadi Gabenor Madinah dan Khalifah adalah sama seperti kehdupannya semasa menjadi rakyat biasa. Harta yang ada termasuk barang perhiasan isterinya diserahkan kepada Baitulmal dan segala perbelanjaan negara berdasarkan konsep jimat-cermat dan berhati-hati atas alasan ia adalah harta rakyat. Ini terbukti apabila beliau dengan tegasnya menegur dan memecat pegawai yang boros dan segala bentuk jamuan negara tidak dibenarkan menggunakan harta kerajaan.

Terdapat banyak riwayat dan athar para sahabat yang menceritakan tentang keluruhan budinya. Di antaranya ialah :
1.    At-Tirmizi meriwayatkan bahawa Umar Al-Khatab telah berkata : "Dari anakku (zuriatku) akan lahir seorang lelaki yang menyerupainya dari segi keberaniannya dan akan memenuhkan dunia dengan keadilan"
2.    Dari Zaid bin Aslam bahawa Anas bin Malik telah berkata : "Aku tidak pernah menjadi makmum di belakang imam selepas wafatnya Rasulullah SAW yang mana solat imam tersebut menyamai solat Rasulullah SAW melainkan daripada Umar bin Abdul Aziz dan beliau pada masa itu adalah Gabenor Madinah"
3.    Al-Walid bin Muslim menceritakan bahawa seorang lelaki dari Khurasan telah berkata : "Aku telah beberapa kali mendengar suara datang dalam mimpiku yang berbunyi : "Jika seorang yang berani dari Bani Marwan dilantik menjadi Khalifah, maka berilah baiah kepadanya kerana dia adalah pemimpin yang adil"." Lalu aku menanti-nanti sehinggalah Umar b. Abdul Aziz menjadi Khalifah, akupun mendapatkannya dan memberi baiah kepadanya".
4.    Qais bin Jabir berkata : "Perbandingan Umar b Abdul Aziz di sisi Bani Ummaiyyah seperti orang yang beriman di kalangan keluarga Firaun"
5.    Hassan al-Qishab telah berkata :"Aku melihat serigala diternak bersama dengan sekumpulan kambing di zaman Khalifah Umar Ibnu Aziz"
6.    Umar b Asid telah berkata :"Demi Allah, Umar Ibnu Aziz tidak meninggal dunia sehingga datang seorang lelaki dengan harta yang bertimbun dan lelaki tersebut berkata kepada orang ramai :"Ambillah hartaku ini sebanyak mana yang kamu mahu". Tetapi tiada yang mahu menerimanya (kerana semua sudah kaya) dan sesungguhnya Umar telah menjadikan rakyatnya kaya-raya"
7.    'Atha' telah berkata : "Umar Abdul Aziz mengumpulkan para fuqaha' setiap malam. Mereka saling ingat memperingati di antara satu sama lain tentang mati dan hari qiamat, kemudian mereka sama-sama menangis kerana takut kepada azab Allah seolah-olah ada jenayah di antara mereka."






UMAR ABDUL AZIZ SEBAGAI KHALIFAH

Beliau dilantik menjadi Khalifah selepas kematian Sulaiman bin Abdul Malik tetapi beliau tidak suka kepada pelantikan tersebut. Lalu beliau memerintahkan supaya memanggil orang ramai untuk mendirikan sembahyang. Selepas itu orang ramai mula berpusu-pusu pergi ke masjid. Apabila mereka semua telah berkumpul, beliau bangun menyampaikan ucapan. Lantas beliau mengucapkan puji-pujian kepada Allah dan berselawat kepada Nabi s.a.w kemudian beliau berkata: "Wahai sekalian umat manusia! Aku telah diuji untuk memegang tugas ini tanpa meminta pandangan daripada aku terlebih dahulu dan bukan juga permintaan daripada aku serta tidak dibincangkan bersama dengan umat Islam. Sekarang aku membatalkan baiah yang kamu berikan kepada aku dan pilihlah seorang Khalifah yang kamu reda. Tiba-tiba orang ramai serentak berkata: Kami telah memilih kamu wahai Amirul Mukminin dan kami juga reda kepada kamu. Oleh yang demikian perintahlah kami dengan kebaikan dan keberkatan. Lalu beliau berpesan kepada orang ramai supaya bertakwa, zuhud kepada kekayaan dunia dan mendorong mereka supaya cintakan akhirat kemudian beliau berkata pula kepada mereka: "Wahai sekalian umat manusia! Sesiapa yang taat kepada Allah, dia wajib ditaati dan sesiapa yang tidak taat kepada Allah, dia tidak wajib ditaati oleh sesiapapun. Wahai sekalian umat manusia! Taatlah kamu kepada aku selagi aku taat kepada Allah di dalam memimpin kamu dan sekiranya aku tidak taat kepada Allah, janganlah sesiapa mentaati aku". Setelah itu beliau turun dari mimbar.







•    Jawatan sebelumnya.

Kebolehan dan ketokohan Umar Abdul Aziz dapat kita saksikan semasa beliau memegang jawatan kerajaan Umaiyyah iaitu sebagai gabenor dan seterusnya semasa menjadi khalifah. Sebelum beliau dilantik menjadi khalifah, beliau pernah memegang jawatan gabenor di beberapa buah wilayah dalam masa kerajaan Umaiyyah, khasnya pada zaman khalifah al-Walid bin Abdul Malik. Semasa Abdul Malik bin Marwan menjadi khalifah iaitu selepas perkahwinannya dengan Fatimah binti Abdul Malik, Umar bin Abdul Aziz dilantik menjadi gabenor di Khunashirah. Khunashirah adalah sebuah negeri yang agak besar sesudah Aleppo di Syria dalam tahun 85 H.

•    Menjadi Gabenor Madinah

Selepas perlantikan beliau menjadi gabenor disini lebih kurang dua tahun. Umar bin Abdul Aziz ditukarkan pula menjadi gabenor di Madinah. Penukaran ini berlaku pada tahun 87 H dimana khalifah al-Walid bin Abdul Malik memilihnya pula menjadi gabenor di Madinah setelah menukarkan Hisyam bin Ismail al-Makhzumi yang menjadi gabenor sebelumnya.
Semasa menjadi gabenor di Madinah, beliau telah berjaya menunjukkan keadilan dan ketokohannya serta tidak mementingkan kepada keluarga sendiri dalam sebarang jawatan. Pengambilan para pegawai dan pekerjanya adalah berdasarkan kepada kebolehan dan kecekapan yang ada pada diri seseorang tanpa memandang kepada darjat, keturunan dan pangkat. Pada masa beliau menjadi gabenor jugalah, masjid al-Nabawi diperbaiki dengan pembinaan semula supaya ianya menjadi lebih selesa, lebih baik dan lebih menarik.


Beliau berjaya menyelesaikan masalah yang timbul sebelum ini dan disamping itu, beliau juga berjaya membuat beberapa pembaikan untuk rakyat di Madinah. Memandang kebijaksanaan dan kebolehan Umar mentadbirkan Negara dengan baik. Maka khalifah al-Walid bin Abdul Malik melantiknya pula sebagai gabenor di kota suci Mekah. Ini bererti Umar bin Abdul Aziz terpaksa mengendalikan dua kawasan yang dianggap terpenting dikalangan umat Islam seluruh dunia iaitu Mekah dan Madinah.

•    Dilantik menjadi Khalifah

Kemudian dia dilantik menjadi menteri oleh Sulayman ibn Abd al-Malik yang menerima nasihat Raja ibn Haywah, seorang ahli fiqh, agar melantik seorang lelaki soleh sebagai khalifah umat Islam, iaitu Umar ibn Abd al-Aziz, bersesuaian dengan pelantikan khalifah secara warisan. Pelantikan ini berlaku pada tahun 99H/717M.

•    Pemerintahan Umar bin Abdul-Aziz

Hari kedua dilantik menjadi khalifah, beliau menyampaikan khutbah umum. Dihujung khutbahnya, beliau berkata “Wahai manusia, tiada nabi selepas Muhammad saw dan tiada kitab selepas al-Quran, aku bukan penentu hukum malah aku pelaksana hukum Allah, aku bukan ahli bid’ah malah aku seorang yang mengikut sunnah, aku bukan orang yang paling baik dikalangan kamu sedangkan aku cuma orang yang paling berat tanggungannya dikalangan kamu, aku mengucapkan ucapan ini sedangkan aku tahu aku adalah orang yang paling banyak dosa di sisi Allah” Beliau kemudian duduk dan menangis "Alangkah besarnya ujian Allah kepadaku" sambung Umar Ibn Abdul Aziz.



Beliau pulang ke rumah dan menangis sehingga ditegur isteri “Apa yang Amirul Mukminin tangiskan?” Beliau mejawab “Wahai isteriku, aku telah diuji oleh Allah dengan jawatan ini dan aku sedang teringat kepada orang-orang yang miskin, ibu-ibu yang janda, anaknya ramai, rezekinya sedikit, aku teringat orang-orang dalam tawanan, para fuqara’ kaum muslimin. Aku tahu mereka semua ini akan mendakwaku di akhirat kelak dan aku bimbang aku tidak dapat jawab hujah-hujah mereka sebagai khalifah kerana aku tahu, yang menjadi pembela di pihak mereka adalah Rasulullah saw’’ Isterinya juga turut mengalir air mata.

Umar Ibn Abdul Aziz mula memeritah pada usia 36 tahun sepanjang tempoh 2 tahun 5 bulan 5 hari. Pemerintahan beliau sangat menakjubkan. Pada waktu inilah dikatakan tiada siapa pun umat Islam yang layak menerima zakat sehingga harta zakat yang menggunung itu terpaksa diiklankan kepada sesiapa yang tiada pembiayaan untuk bernikah dan juga hal-hal lain.

Setelah menduduki takhta pemerintahan, Umar ibn Abd al-Aziz segera melaksanakan projek kemudahan asas dan melucutkan beberapa orang penguasa yang tidak mampu memberi khidmat yang baik kepada rakyat. Tempat mereka diganti oleh orang yang mementingkan keadilan, bersih dan beristiqamah. Di samping itu, beliau cuba menarik hati golongan Syiah dengan menghapuskan kata-kata kecaman terhadap Sayidina Ali r.a dalam khutbah dan tidak lagi mengancam mereka. Beliau juga menghapuskan jizyah terhadap kafir zimmi yang memeluk Islam serta mengarahkan supaya diserahkan kembali hak mereka.

Khalifah Umar juga turut menghalang dirinya dan keluarganya daripada menikmati sebarang bentuk kemewahan yang berlebihan, sehingga dia meminta agar isterinya menyerahkan barang kemasnya kepada baitulmal. Umar ibn Abd al-Aziz juga menghapuskan segala cukai yang berlebihan dan meminta agar semua gabenor mengambil kira pandangannya dalam melaksanakan sesuatu hukuman. Cara politik ini menyebabkan ramai orang memeluk agama Islam terutamanya raja-raja daripada Sind, Hind dan Bar.


KEBERKESANAN PEMERINTAHAN KHALIFAH UMAR BIN ABDUL AZIZ

•    Politik

Dalam bidang ini merangkumi aspek-aspek pentadbiran, dasar dalam dan luar negeri, perlantikan para pegawai dan sebagainya. Ahli-ahli sejarah bersepakat mengatakan corak pentadbiran baginda samalah seperti mana khalifah-khalifah al-Rasyidin. Bentuk atau corak pemerintahan baginda adalah berdasarkan kepada al-Quran dan hadis Rasulullah s.a.w. Dari awal beliau dilantik, beliau telah mengadakan reformasi yang tidak terkeluar dari hakikat dan kehendak Islam yang sebenarnya. Antara reformasi itu ialah, beliau telah mengembalikan semula demokrasi al-syura mengikut Islam. Demokrasi ini telah lama hilang dan tidak dipraktikan pada masa khalifah umaiyyah kecuali di zaman Umar bin Abdul Aziz sahaja.

Pada tahun pertama beliau dilantik menjadi khalifah iaitu pada tahun 99H, Khalifah Umar Abdul Aziz telah mengadakan beberapa reformasi dan rancangan-rancangan yang begitu menyeluruh dalam semua bidang. Antaranya ialah menyusun semula nama-nama para gabenor, qadhi-qadhi dan para pegawai kerajaan yang lain.

Khalifah Umar Abdul Aziz juga melantik qadhi-qadhi disetiap wilayah, nama pemimpin tentera, pemungut cukai, ketua polis, ketua pos, dan pelbagai jabatan lagi yang berkaitan dengan pelaksanaan pentadbiran umat. Khalifah Umar Abdul Aziz bertindak tegas kepada sesiapa sahaja dari para pembesarnya atau gabenornya samada gabenor yang telah dilantik oleh khalifah-khalifah Umaiyyah yang lalu atau kepada mereka yang dilantik oleh beliau sendiri.

Khalifah Umar bin Abdul Aziz sangat berhati-hati semasa melantik para pegawainya. Beliau tidak taksub kepada mana-mana pihak, malah apa yang menjadi ukuran beliau ialah kelebihan yang ada pada seseorang walaupun bukan dari keluarganya, bukan sahabatnya atau bukan bangsa arab. Didalam pentadbiran negara juga, beliau akan memecat dan tidak melantik kepada mereka yang kurang berpengetahuan dalam bidang agama Islam. Khalifah Umar juga pernah mengingatkan kepada para gabenornya supaya mengambil orang-orang yang pakar tentang maksud-maksud al-Quran dalam pentadbiran negara.

Dalam usaha menjalankan reformasinya, beliau telah mengembalikan semula gereja yang telah diambil oleh khalifah-khalifah Umaiyyah yang lalu daripada orang-orang nasrani. Tujuan pengambilan itu adalah untuk diubahsuaikan bagi pembinaan masjid. Ini kerana beliau berpendapat bahawa tindakan khalifah-khalifah yang lalu adalah diluar dari kehendak Islam yang sebenarnya. Langkah seperti ini, membawa kesan yang positif terhadap orang-orang nasrani untuk mereka berfikir, membuat kajian tentang akidah Islam dan seterusnya mungkin membawa mereka menerima Islam.

Polisi luar khalifah Umar terhadap negara-negara asing, khususnya negara-negara bukan Islam, polisi beliau adalah berdasarkan kepada daulah islamiah. Inilah satu reformasi beliau terhadap dasar luar kerajaan. Khalifah-khalifah sebelumnya menggunakan polisi menyerang negara-negara asing, dalam usaha meluaskan jajahan takluk Islam serta akidahnya. Tetapi khalifah Umar tidak suka melakukan pertumpahan darah sesama manusia. Beliau lebih suka menukarkan dari cara peperangan kepada cara berdakwah. Cara ini adalah lebih berkesan dan lebih praltikal jika dibandingkan dengan khalifah-khalifah Umaiyyah sebelumnya.

•    Ekonomi.

Dalam bidang ini, khalifah Umar bin Abdul Aziz telah menggariskan dasar-dasar pokok pentadbiran ekonomi Negara. Mengikut seorang ahli sejarah Muhamad Ali Dannawi, terdapat enam asas penting yang telah digariskan oleh Umar bin Abdul Aziz iaitu:
o    Harta itu adalah harta Allah. Manusia hanya berusaha sekadar keperluannya sahaja.
o    Kerajaan akan memberi jaminan kesenangan kepada manusia sekadar tahap minimum sahaja.
o    Zakat mesti dipungut segera dan dibahagikan kepada orang yang berhak dengan segera. Jika didapati lebih, hendaklah dikembalikan kepada Baitulmal.
o    Wajib ada perimbangan antara kemasukan dan pengeluaran ekonomi Negara.
o    Baitulmal Markazi hendaklah mentadbirkan kewangan seluruh pelusuk negara. Baitulmal Markazi juga, berkuasa mengeluar dan menukarkan wang jika perlu dan para pegawainya bertanggungjawab keatas
Baitulmal dan ianya diletak di bawah kawalan rapi tentang perbelanjaan tahunannya.
Beliau juga telah mengadakan beberapa reformasi dalam bidang ini dan cuba mengembalikan semula peraturan ekonomi sebagaimana di zaman Khalifah Umar al-khattab dahulu. Antara peraturan-peraturan yang diikuti oleh beliau ialah:
o    Menegah orang-orang arab memiliki tanah-tanah di negara-negara yang dibuka.
o    Jizyah dihapuskan kepada bukan Arab selepas mereka memeluk agama Islam tetapi mereka dikenakan cukai al-Kharaj keatas tanah-tanah mereka.

Pembaharuan dan polisi yang dilakukan oleh khalifah Umar bin Abdul Aziz telah memberikan suatu dasar baru kepada masyarakat. Pembaharuan berjaya menambahkan ekonomi negara dan mengembangkan akidah islamiah apabila ramai yang memeluk agama Islam.

Khalifah Umar bin Abdul Aziz juga memerintahkan para gabenornya supaya menghapuskan bayaran jizyah kepada setiap orang yang memeluk Islam. Tindakan dan polisi Umar ini menyebabkan setengah gabenornya mengadu kebimbangan mereka tentang akan kurangnya harta Baitulmal. Khalifah Umar bin Abdul Aziz menjelaskan kepada mereka yang sebenarnya penghapusan jizyah itu memberi kesan dan kemenangan yang besar terhadap ekonomi dan akidah Islam. Inilah antara langkah dan reformasi yang positif yang pernah dilakukan oleh beliau. Golongan zimmah, apabila mereka menerima Islam, mereka dikenakan bayaran zakat. Ini bererti menambah wang umat Islam secara keseluruhannya. Penghapusan jizyah seolah-olah sebagai teknik untuk menarik mereka memeluk Islam.


Di dalam usaha membersih kebatilan dan menambahkan ekonomi negara, khalifah Umar tidak bertindak kepada orang lain, kecuali selepas dilakukan keatas dirinya dahulu. Antara tindakan awal terhadap dirinya ialah beliau menjual setiap yang dimilikinya seperti kebun-kebun, kenderaan-kenderaan, barang-barang mewah, kuda-kuda, pakaian-pakaian, minyak atar, perabot-perabot dan banyak lagi barang-barang lain sehingga sampai nilainya sebanyak dua puluh tiga ribu dinar. Kesemua harta-harta itu diserahkan kepada Baitulmal.

Mengikut Ibn al-Athir dan beberapa orang ahli sejarawan yang lain, mereka mengatakan bahawa perbelanjaan Khalifah Umar setiap hari hanya dua dirham sahaja. Wang atau dirham itu diambil daripada Baitulmal. Ringkasnya dalam bidang ekonomi, Khalifah Umar berjaya memberi keselesaan kepada semua rakyat. Suasana perekonomiaan negara dan harta Baitulmal adalah yang paling tinggi sekali, jika dibandingkan dengan zaman-zaman Khalifah Umaiyyah sebelumnya. Rakyat hidup dengan mewah tanpa berlaku sebarang masalah antara mereka. Masalah sosial seperti rasuah dan sebagainya dapat diatasi. Para petani, mereka menerima pendapatan yang lumayan. Begitulah juga dengan para pegawai kerajaan yang lain, sehingga gaji sampai kepada tiga ratus dinar setiap bulan.







•    Sosial.

Khalifah Umar bukanlah sebagai seorang Khalifah yang hanya pandai mentadbirkan negara dan bijak menyusun program kemajuan ekonomi negara, malah baginda juga tidak lupa mengadakan reformasi dalam bidang sosial demi kebaikan umat dan agama Islam. Jalan raya, tempat persinggahan musafir, perkhidmatan pos, sekolah-sekolah, pusat pengajian tinggi, pusat kesihatan dan sebagainya diadakan di dalam negara.
Antara sumbangan Umar ibn Abd al-Aziz sepanjang tempoh perkhidmatannya di Hijaz ialah menggali telaga-telaga, membaiki jalan, memerintah dengan penuh keadilan tanpa penentangan daripada para pembangkang politik Bani Umayyah dan gabenor-gabenornya. Dia berjaya menarik hati semua golongan dan menghormati mereka. Pada zaman pemerintahan beliau, beliau telah menggariskan beberapa ciri bagi meninggikan kehidupan rakyat. Pada pandangan beliau, untuk mencapai hasrat ini, sesebuah negara mestilah paling kurang mempunyai keadaan minimum seperti berikut:
o    Seseorang itu mesti memiliki sebuah rumah.
o    Mesti ada seekor kuda untuk mempertahankan diri dan berjihad.
o    Mesti cukup alat perabot rumah.
o    Bagi mereka yang kurang bernasib baik dalam hidupnya. Seperti orang buta, orang lemah, fakir miskin, anak-anak yatim dan sebagainya. Mereka ini diberi pertolongan seperti tempat penginapan, bantuan-bantuan yang berupa mental dan material. Khalifah Umar pernah mengarahkan pihak berkuasa Sham supaya mengadakan tempat bagi setiap orang yang buta.

Pada zaman Khalifah Umar bin Abdul Aziz juga penyair-penyair atau penyanyi mereka tidak mendapat peluang untuk berpoya-poya. Manakala pelaku-pelaku jenayah pula, keadaan mereka pada zaman Khalifah Umar adalah baik tidak sebagaimana zaman khalifah-khalifah Umaiyyah sebelumnya. Bahkan mereka telah berpaling dengan melihat contoh Hasan al-Basri iaitu seorang ulama’ dan salah seorang yang kuat beribadat.

Beliau sangat mengambil berat dalam soal pengembangan agama Islam serta penyebaran ilmu agama Islam seperti Fiqh, Tauhid, pengajian al-Quran dan sebagainya. Beliau mengarahkan setiap gabenor wilayah supaya mengambil berat tentang pengajian ini. Beliau menjadikan masjid sebagai pusat memainkan peranan penting dalam penyebaran ilmu pengetahuan. Para ulama’ pula adalah sebagai pengembang dan penyebar ilmu pengetahuan Islam di wilayah-wilayah Islam.Maka Umar bin Abdul Aziz telah menghantar ke Maghrib sepuluh orang fuqaha’ untuk menerangkan atau mengajar mereka itu dalam perkara-perkara agama.

//Beliau pernah mengumpul ahli bijak pandai dalam pelbagai bidang untuk menterjemahkan buku-buku asing seperti buku dari Greek, Parsi dan sebagainya kedalam bahasa arab. Tujuan beliau adalah untuk memberi kefahaman kepada orang-orang Islam terhadap berbagai ilmu pengetahuan dengan lebih berkesan. Dalam bidang pengajian nahu dan soraf, baginda menggunakan cara yang baru. Ini disebabkan oleh banyaknya orang-orang bukan Islam memeluk Islam. Beliau juga tidak lupa dalam usaha penyusunan semula hadis. Jasa beliau ini amat besar ertinya kepada kaum muslimin seluruhnya.

Khalifah Umar sangat mengambil berat dalam ilmu keagamaan atau kerohaniaan dan ilmu keduniaan lebih-lebih lagi ilmu kedoktoran kerana keperluan orang ramai dalam kehidupan mereka seharian, untuk menjamin kesihatan badan dan kesejahteraan iman. Pada zaman Umar lahir seorang doktor yang terkenal bernama Abdul Malik bin Abjar atau Ibn Bahr al-Kamani. Ramai lagi tokoh-tokoh dalam berbagai bidang yang lahir pada zaman Khalifah Umar hasil daripada perluasan dan pengembangan ilmu pengetahuan.





Antara sumbangan Umar ibn Abd al-Aziz sepanjang tempoh perkhidmatannya di Hijaz ialah menggali telaga-telaga, membaiki jalan, memerintah dengan penuh keadilan tanpa penentangan daripada para pembangkang politik Bani Umayyah dan gabenor-gabenornya. Dia berjaya menarik hati semua golongan dan menghormati mereka. Pada zaman pemerintahan beliau, beliau telah menggariskan beberapa ciri bagi meninggikan kehidupan rakyat.

Khalifah Umar sangat mengambil berat dalam ilmu keagamaan atau kerohaniaan dan ilmu keduniaan lebih-lebih lagi ilmu kedoktoran kerana keperluan orang ramai dalam kehidupan mereka seharian, untuk menjamin kesihatan badan dan kesejahteraan iman. Pada zaman Umar lahir seorang doktor yang terkenal bernama Abdul Malik bin Abjar atau Ibn Bahr al-Kamani. Ramai lagi tokoh-tokoh dalam berbagai bidang yang lahir pada zaman Khalifah Umar hasil daripada perluasan dan pengembangan ilmu pengetahuan.
Begitulah keberkesanan pemerintahan yang telah ditunjukkan pada zaman pemerintahan khalifah Umar Abdul Aziz. Pada zaman pemerintahan beliau, Islam telah berkembang dengan baik dan membangun. Umat Islam pada masa itu juga hidup dalam keadaan aman dan harmoni.










SUMBANGAN ATAU REFORMASI YANG DILAKUKAN OLEH KHALIFAH UMAR

•    Menghilangkan Amalan Nepotisme.

Nepotisme ialah perbuatan dalam pemerintahan yang mementingkan atau melebihkan sanak saudara atau kawan-kawan sendiri. Beliau tidak segan menurunkan kaum kerabatnya sendiri sekiranya memang tidak mampu menegakkan keadilan. Keadilan adalah di antara dasar pemerintahan yang akan ditugaskan dan diperjuangkan beliau menurunkan kaum kerabat Bani Umayyah yang tidak bijak memerintah dan berunsurkan tipu daya.

Al-Mas’udi meriwayatkan: “Umar Abdul Aziz adalah ahli ibadah dan tawaduk, ia memberhentikan pekerja-pekerja kaum kerabat Bani Umayyah dan menggantikannya dengan pekerja-pekerja yang lebih berkemampuan untuk bekerja”. Kemudian beliau memberikan nasihat-nasihat kepada gabenor-gabenornya. Beliau sangat mencela tindakan pegawai-pegawainya yang menyeleweng dan tidak berlaku amanah terhadap rakyatnya. Di antara ucapan beliau ialah: “Sesungguhnya kami menganggap yang lari dari kezaliman para pemimpinnya sebagai penderhaka, maka ketahuilah bahawa yang lebih patut dianggap menderhaka ialah pemimpin yang zalim. Ingatlah tidak ada ketaatan kepada makhluk dalam menderhakai Allah.
Al-Balazuri menerangkan bahawa Muhammad bin Yusuf merupakan saudara Hajjaj bin Yusuf, pegawainya di Yaman melakukan penyelewengan merampas tanah-tanah rakyat tanpa hak dan mewajibkan penduduk Yaman agar membayar kharaj. Ketika Umar memegang jawatan Khilafah ia memerintahkan gabenornya untuk menghapuskan kewajipan tersebut dan supaya meringankan beban orang-orang yang dalam kesempitan.


Al-Mada’ini meriwayatkan: Umar mengangkat seorang laki-laki daripada bapa saudaranya atas satu pekerjaan kemudian dihadapkan kepadanya dua orang laki-laki yang minta dihakimi berkenaan dengan masalah dinar (kewangan) tetapi beliau tidak memberi keputusan yang bijak antara keduanya dan mengenakan denda satu dinar, kemudian beliau akan menyelesaikan masalah antara dua lelaki tersebut, maka Umar mengirim surat kepadanya:”Bahawasanya saya tidak mengangkat kamu supaya meminta denda dan beliau menggantikannya dengan benda lain”.

•    Memecat wali-wali yang zalim dan menggantikannya dengan yang lebih baik.
"إن إقامة الحدود عندي كإقامة الصلاة والزكاة"
Maksudnya:
“ Sesungguhnya mengenakan hudud disisiku adalah sama hukumnya dengan mendirikan solat dan menunaikan zakat”.

Dasar baru ini tidak membabitkan penyerahan kuasa-kuasa untuk pemerintahan pusat. Pada hakikatnya Umar bin Abdul Aziz telah menyelia segala tindakan yang dibuat oleh wali-walinya dengan cara yang tidak pernah dilakukan sebelumnya. Berbeza dengan tiga leluhur yang sebelumnya, beliau tidak lagi memerlukan wali-wali yang kuat seperti Hajjaj bin Yusuf dan Yazid. Sebaliknya beliau meminta wali-walinya supaya melaksanakan arahannya.

Dalam suasana begini perdagangan politik wali secara individu tidak penting berbanding dengan pemusatan kuasa pemerintahan Sulaiman. Umar bin Abdul Aziz memerlukan kelayakan dan ketaatan secara zahir dan beliau bersedia melantik sesiapa daripada pengikut-pengikut Hajjaj sekiranya ia mempunyai sifat-sifat itu.


Pada pemerintahan Umar bin Abdul Aziz, ianya berjalan terus dan memerhatikan setiap kemungkaran dan tabiat para wali yang menindas rakyat dengan kezaliman iaitu dengan mengganti mereka yang ternyata kezaliman dan digantikan tempatnya oleh para wali yang baik akhlak dan budi pekertinya.

Umar bin Abdul Aziz segera memecat gabenor-gabenor yang zalim dan amil-amil yang kejam. Dipecatnya Usamah bin Zaid, yang sebelum ini menjawat sebagai pegawai zakat di Mesir. Usamah adalah seorang yang zalim dan banyak tindakannya yang melampaui batas. Umar bin Abdul Aziz juga telah memecat Yazid bin Abu Muslim yang sebelum ini menjadi gabenor di Afrika Utara dan Salih bin Abdurrahman gabenor Iraq serta Hur bin Abdul Rahman al-Saqafi gabenor Andalus.

Tindakan selanjutnya ialah memecat Yazid bin Muhallab, wali Sulaiman di wilayah Timur dan seterusnya membahagikan kawasan yang besar itu kepada tiga bahagian iaitu Kufah, Basrah dan Khurasan. Dengan cara ini ia dapat dikuasai dan dikawal dengan sepenuhnya. Umar bin Abdul Aziz memandanganya sebagai gabenor diktator dan mengarahkan supaya mengembalikan harta rampasan perang dari Jurjan kemudian digantikan kedudukannya oleh Abdul Rahman bin Naimal Ghiffari. Kemudian dimasukkan penjara namun dapat melarikan diri ketika Umar sakit tenat.

Demikianlah pendiriannya dalam menegakkan keadilan kepada seluruh rakyatnya dengan menjalankan hukum-hukum yang hak termasuk memecat gabenor-gabenor yang tidak berkelayakan adalah sama seperti mendirikan solat dan membayar zakat. Jika beliau tidak tunaikan amanat itu, beliau akan menanggung dosa di hadapan Allah kelak.




•    Mengembalikan harta yang tidak sah ke dalam Baitulmal.

Khalifah Umar bin Abd Aziz pernah berkata yang bermaksudnya:
“Bahawasanya saya tidak menuduh agamamu dan tidak juga amanahmu, tetapi saya mencurigai kelalaianmu dan pemborosanmu, sesungguhnya saya akan menjadi hujah kaum Muslimin dalam harta mereka, kemudian ia memerintahkan mengganti harta baitulmal yang hilang kemudian dikembalikannya semula dan ia menghibahkan dari harta persendiriannya”.

Sifat amanah yang tinggi mendorong Umar bin Aziz untuk berlaku adil terhadap semua pihak baik terhadap dirinya, keluarganya mahupun kerabatnya yang dekat sekalipun. Bagi beliau, tidak ada sedikit pun perasaan takut untuk dikecam, ditentang atau dimusuhi sekalipun. Cintanya pada Allah dan Rasul mengatasi cintanya kepada kaum kerabatnya yang dinilai telah membolot harta kerajaan tanpa kebenaran. Sementara di sana ditemukan ramai rakyatnya yang hidup kekurangan dan tertindas hak-haknya.

Pertama kali yang ditunjukkan kepada masyarakat tentang perubahan radikal yang dicontohkan ialah sebaik sahaja beliau diangkat menjadi khalifah beliau menolak kuda-kuda hias yang segak dan belum pernah digunakan, sememangnya kenderaan itu dikhaskan bagi khalifah-khalifah yang baru, beliau memilih keldainya dan menyuruh kuda-kuda tersebut dimasukkan ke dalam Baitulmal, beliau tidak mahu tinggal di istana sebaliknya tinggal dirumahnya yang usang. Begitu juga semua tenda-tenda permaidani-permaidani dan tempat-tempat alas kaki yang biasanya disediakan untuk khalifah-khalifah yang baru semuanya itu dijualnya dan wangnya dimasukkan ke dalam Baitulmal.



•    Mengubah Strategi Dakwah

Beliau mengubah cara berdakwah dari kekerasan peperangan kepada dakwah secara berhikmah. Beliau menyebarkan agama Islam sebagaimana yang dilakukan oleh Nabi Muhammad s.a.w. dan menempuh cara damai dalam berdakwah tersebut yang mana hal itu tidak dilakukan oleh khalifah-khalifah sebelumnya, dakwah itu sangat berkesan menyebabkan ramai orang-orang yang memeluk Islam dan mengirim 10 ahli fiqh untuk mengajar mereka asas-asas agama dan pengajaran-pengajarannya kepada negeri-negeri yang baru menerima Islam. Beliau juga mengirim surat kepada Leo III raja Rom dan raja Sind mengajaknya memeluk Islam. Setelah mereka tahu sirahnya, maka mereka masuk Islam di antaranya ialah raja Hisbah bin Zahir. Kemudian Umar bin Abdul Aziz mengangkat Umar bin Muslim saudara Qutaibah bin Muslim di sempadan sebagai walinya.

Umar Abdul Aziz memang menjauhi penyebaran Islam dengan dakwah yang lemah lembut secara menyeluruh. Bahkan semua tentera ynag melawan negara jirannya seperti Konstantinopal dan Asia Tengah. Umar Abdul Aziz mengarahkan al-Jarrah supaya menyeru penduduk tempatan memeluk agama Islam dan mengatakan sesiapa sahaja yang memeluk agama Islam akan dikecualikan daripada membayar jizyah, nama mereka disenaraikan dalam diwan dan akan dilayan seperti orang-orang Islam yang lain.

Menurut Mada’ini, Umar bin Abdul Aziz mengambil langkah ini apabila ia menerima aduan bahawa seramai 20 ribu orang kaum mawali yang menyertai beberapa kempen tidak menerima ata’, dan mereka yang memeluk Islam masih juga dikenakan jizyah. Kemudian beliau menghapuskan jizyah tersebut dari para mualaf. Umar juga sangat bijaksana dalam penarikan ufti (kharaj) sebagai contohnya beliau telah mengeluarkan arahan kepada Uqba’ bin Zur’a al-Ta’I supaya memungut ufti tanpa penganianyaan dan jika terdapat kelebihan yang diperlukan selepas pembahagian gaji, akan dibahagikan kepada kaum yang memerlukannya di Khurasan. Jika sekiranya jumlah kharaj yang diperlukan tidak mencukupi, maka Umar bin Abdul Aziz akan menghantar wang ke khurasan bagi menampung kekurangan wang itu.


•    Menghidupkan Amalan Syura (mesyuarat).

Syura adalah salah satu sistem dalam perlembagaan Islam yang unggul mengalahkan sistem apa pun dalam bentuk pemerintahan didunia ini. Umar bin Abdul Aziz menyakini bahawa syura adalah satu kemestian yang mesti ditegakkan dalam kerajaannya. Dengannya pemerintahan akan tegak, kebenaran akan terangkat dan keadilan menjadi kuat dan dapat dirasakan oleh seluruh lapisan masyarakat.

Umar Abdul Aziz mengangkat maruah rakyatnya supaya berani menegakkan kebenaran dan keadilan. Ia menulis surat kepada rakyatnya dipelbagai daerah:’’pegawai mana sahaja yang menjauhi kebenaran dan tidak beramal dengan al-Quran dan al-Sunah, tidak perlu kalian mentaatinya dan urusannya saya serahkan kepada kalian sampai kebenaran dikembalikan dan iapun tercela’’. Di antara salah satu suratnya kepada gabenor yang berbunyi: ”telah banyak orang yang mengeluh tentang dirimu dan sedikit yang memujimu, maka jika engkau tidak mahu berbuat adil aku akan memecatmu”. Pendapat rakyatnya yang bernas dan tepat sangat dihormati, beliau tidak mahu menyusahkan rakyatnya sebaliknya beliau tidak teragak-agak memecat gabenornya jika mengikut pendapat mereka melakukan penyelewengan dari panduan-panduannya. Demikianlah ia menjadikan kekuasaan rakyat di dalam kerajaannya.

Penghormatan Umar bin Abdul Aziz terhadap kebenaran sangat tinggi, beliau memuliakan kepada sesiapa sahaja yang dapat menyampaikan kebenaran tersebut tanpa megambil kira siapa sahaja orangnya. Dalam Muruj al-Zahab disebutkan seorang budak yang mewakili delegasi sebuah rombongan mereka. Pada suatu hari datang utusan dari Hijaz dan di antara mereka tampil seorang budak kecil untuk berbicara atas nama mereka dan mengemukakan masalah mereka.


Maka Umar Abdul Aziz menyanggahnya dan berkata kepadanya: Wahai budak, biarkan orang yang lebih tua darimu berbicara. Kemudian budak itu menjawab: Maksudnya: Wahai Amirul Mukminin, manusia itu diukur dengan kedua miliknya yang kecil iaitu hati dan lidah, jika Allah telah mengkurniakan kepada seorang hamba lisan yang petah dan hati yang terjaga maka sebenarnya ia telah dielokkan dengan perhiasan. Wahai Amirul Mukminin, sekiranya pengutamaan seseorang itu kerana umurnya maka dalam umat ini masih banyak lagi yang lebih tua daripada kamu.

Syura tidak akan tegak berdiri tanpa adanya penghormatan kepada pendapat-pendapat yang datang daripada pihak lain walaupun budak kecil sekalipun. Syura benar-benar hidup dizamannya menggantikan sistem pemaksaan yang bersifat diktator oleh khalifah-khalifah sebelumnya. Rakyatnya tidak takut untuk mengemukakan pendapatnya jika benar ataupun menyanggah keputusan-keputusannya jika tidak sesuai dengan al-Quran mahupun al-Hadis.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...