Pengenalan tayamum.
Tayammum  adalah  merupakan  salah  satu  nikmat  yang  paling   besar  yang  dianugerahkan   kepada  umat Muhammad  S.A.W.:
“Aku  diberi  lima  kelebihan  yang  tidak  pernah  diberikan   kepada  seorang  pun  sebelumku. Aku  diberikan  pertolongan  dimana  musuh  berasa  gentar (takut )  sebulan  sebelum  peperangan, seluruh  muka bumi  dijadikan  bagiku  sebagai  masjid  dan  alat  untuk  bersuci.  Oleh  itu,  mana-mana  umatku yang  menepati  waktu solat  telah  masuk, dia  boleh  terus  solat  disitu…(hadis riwayat  Bukhari  dan  Muslim)
Definisi  tayammum / pengertian tayammum:
Tayammum  ialah  suatu  kemudahan  yang  diberikan  oleh  Allah  S.W.T.  kepada  umat  Islam  untuk  dilakukan  semasa  menghadapi  keadaan  yang  menghalang  daripada  berwudu’ atau  mandi  wajib  disebabkan  ketiadaan  air  atau  kerana  sakit  bagi  mengharuskan  melakukan  ibadah  dengan  menggunakan  tanah  atau  debu  yang  bersih.
Tayammum  dari  segi  bahasa ialah al-qasdu  القصد  (sengaja).
Tayammum dari segi syara’ pula ialah  menyapu  muka  dan  kedua  belah  tangan  meliputi  siku  dengan  debu  tanah  yang  bersih  mengikut  syarat-syarat yang tertentu. Ia difardukan  sebagai  ganti  wudu’  atau  mandi wajib. 
Bahan-bahan tayammum.
Antara  bahan  yang  dapat  digunakan  sebagai  alat  bertayammum  ialah  seluruh  permukaan bumi  yang  bersih  dan  baik  sama  ada  pasir,  batu-batuan, tanah  dan  sebagainya.  Hal ini telah dinyatakan dalam  Hadis  riwayat  Ahmad  no. 22190, dinyatakan  shohih  lighoirihi  oleh  Syeikh  Syu’aib  Al Arnauth  dalam  Ta’liq  beliau  untuk  Musnad  Imam  Ahmad,  terbitan  Muasa’sah Qurthubah,  Kairo,  Mesir  iaitu :
Dari  Hudzaifah  Ibnul  Yaman
جُعِلَتِ الأَرْضُ كُلُّهَا لِى وَلأُمَّتِى مَسْجِداً وَطَهُوراً
“Dijadikan (permukaan.) bumi  seluruhnya  bagiku (Nabi  Muhammad)  dan  ummatku  sebagai tempat  untuk  sujud  dan  sesuatu  yang  digunakan  untuk  bersuci”.
Debu  tanah  yang  bersih  ialah:
- · Tanah dalam pelbagai warna seperti merah atau hitam. Sekiranya bercampur pasir mesti mengandungi kandungan debu.
 - · Tidak dikategorikan sebagai abu.
 - · Suci dan tidak bernajis.
 - · Tidak musta’mal.
 - · Tidak bercampur tepung atau kapur atau pasir yang tidak berdebu. Tidak boleh bertayammum dengan menepuk meja atau dinding kerana tidak mengandungi debu tanah.
 
Dalil-dalil mengenai tayammum:
Dalil  dari  Al-Quran.
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا قُمْتُمْ إِلَى الصَّلَاةِ فَاغْسِلُوا وُجُوهَكُمْ وَأَيْدِيَكُمْ إِلَى الْمَرَافِقِ وَامْسَحُوا بِرُءُوسِكُمْ وَأَرْجُلَكُمْ إِلَى الْكَعْبَيْنِ ۚ وَإِن كُنتُمْ جُنُبًا فَاطَّهَّرُوا ۚ وَإِن كُنتُم مَّرْضَىٰ أَوْ عَلَىٰ سَفَرٍ أَوْ جَاءَ أَحَدٌ مِّنكُم مِّنَ الْغَائِطِ أَوْ لَامَسْتُمُ النِّسَاءَ فَلَمْ تَجِدُوا مَاءً فَتَيَمَّمُوا صَعِيدًا طَيِّبًا فَامْسَحُوا بِوُجُوهِكُمْ وَأَيْدِيكُم مِّنْهُ ۚ مَا يُرِيدُ اللَّهُ لِيَجْعَلَ عَلَيْكُم مِّنْ حَرَجٍ وَلَـٰكِن يُرِيدُ لِيُطَهِّرَكُمْ وَلِيُتِمَّ نِعْمَتَهُ عَلَيْكُمْ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ ﴿٦﴾ 
Maksud : “Wahai  orang-orang  yang  beriman, apabila  kamu  hendak  mengerjakan  sembahyang (padahal  kamu  berhadas  kecil),  maka (berwuduklah)  iaitu  basuhlah  muka  kamu,  dan kedua  belah  tangan  kamu  meliputi  siku  dan  sapulah  sebahagian  dari  kepala  kamu  dan basuhlah  kedua  belah  kaki  kamu  meliputi  buku  lali  dan  jika  kamu  berjunub  (berhadas besar)  maka  bersucilah  dengan  mandi  wajib  dan  jika  kamu  sakit  (tidak boleh kena air) atau  dalam  pelayaran  atau  salah  seorang  dari  kamu  datang  dari  tempat  buang  air  atau kamu  sentuh  perempuan,  sedang  kamu  tidak  mendapat  air (untuk  berwuduk  dan  mandi), maka  hendaklah  kamu  bertayamum  dengan  tanah  (debu)  yang  bersih,  iaitu:  Sapulah muka  kamu  dan  kedua belah  tangan  kamu  dengan  tanah  debu  itu.  Allah  tidak  mahu menjadikan  kamu  menanggung  sesuatu  kesusahan  (kepayahan), tetapi  Dia  berkehendak membersihkan  (mensucikan)  kamu  dan  hendak  menyempurnakan  nikmatNya  kepada kamu,  supaya  kamu  bersyukur”.  (Surah  Al-Maidah, ayat  6)
Dalil  dari  Hadis. 
·         Maksud  Hadis :
Dari  Huzaifah  r.a,  katanya :  Rasulullah  S.A.W  bersabda: …..dan  (di  antara  keistimewaan yang  diberikan  Allah  Taala  kepada  kami  ialah)  dijadikan  bumi  ini  seluruhnya  sebagai tempat  sembahyang  untuk  kami, dan  tanahnya  pula  dijadikan  untuk  kami  sebagai  alat untuk  bersuci  apabila  kami  tidak  mendapat  air.  ( Riwayat Muslim )
·         Maksud  hadis
Imran bin Husin r.a berkata: “Kami  telah  musafir  bersama  Rasulullah S.A.W.  baginda  telah  mengimani  solat.  Setelah  selesai solat,  baginda  melihat  seorang  lelaki  tidak solat  bersama.  Lalu  baginda  bertanya: apakah  yang  menghalangmu  daripada  solat  bersamaku?  Jawabnya:  aku  sedang  berjunub  dan  tidak  menemui  air.  Baginda  bersabda:  gunalah  debu  tanah,  iaitu  bertayammum.  Ia sudah  memadai  bagimu.”(hadis  riwayat  Bukhari  dan  Muslim)
·         Maksud  hadis
‘Amr  bin  Syu’aib r.a  berkata,  ayahnya  pernah  mendengar   daripada datuknya  bahawa  Rasulullah  S.A.W  pernah  bersabda: “bumi  ini  dijadikan  sebagai  masjid (tempat  solat)  dan  alat  untuk  bersuci  jika tiada  air.  Oleh  itu,  dimana  saja  aku mendapati  waktu  solat  telah  masuk,  aku  akan  menyapu  (bertayammum)  dan terus solat.” (hadis  riwayat  Bukhari  dan  Muslim)
·         Maksud hadis:
Ammar r.a  berkata: “suatu  ketika,  aku  telah  berjunub.  Kemudian,  aku  tidak  menemui  air  lalu  aku   berguling di atas  tanah.  Seterusnya  aku  menunaikan  solat.  Lalu  baginda  bersabda:  sebenarnya,  memadai  engkau  hanya  melakukan  bigini  lalu  baginda  menepk  tanah  dengan kedua-dua  belah  tapak  tangannya serta  meniup  kedua-duanya.  Kemudian,  baginda  menyapu  muka  dan  tapak  tangan  hingga  ke pergelangan  dengan  debu  itu.” (hadis  riwayat Bukhari  dan Muslim)
Sebab-sebab  diharuskan  tayammum:
- Apabila tiada air atau ada air tetapi hanya mencukupi untuk keperluan makan dan minum.
 - Tidak dapat menggunakan air disebabkan penyakit yang dihidapi atau merbahaya bila dikenakan air.
 - Apabila penggunaan air boleh membahayakan kesihatan dan nyawa
 - Khuatir akan kehabisan waktu solat ketika mencari air.
 
Syarat-syarat sah bertayammum: 
- Menghilangkan najis terlebih dahulu.
 - Tanah debu yang suci
 - Bukan dari debu tanah yang musta’mal (yang telah digunakan).
 - Ada qasad / niat penggunaan tanah.
 
- Menyapu muka dan dua tangan hingga ke siku dengan dua kali tepuk. Tepukan pertama bagi muka dan tepukan kedua bagi tangan.
 - Pastikan terlebih dahulu arah kiblat
 - Bertayammum apabila telah masuk waktu solat sahaja. Tayammum hendaklah dilakukan setelah masuk waktu sembahyang dengan yakin kerana tayammum dianggap darurat
 - Satu tayammum bagi satu solat fardu dan beberapa solat sunat.
 
Rukun-rukun tayammum:
- Berniat ketika memindahkan debu sehingga menyentuh sebahagian muka. Niatnya ialah seperti berikut:
 
“Sahaja aku bertayammum kerana mengharuskan fardu sembahyang kerana Allah Ta’ala.”
- Menyapu muka.
 - Menyapu tangan
 - Tertib.
 
Cara-cara bertayammum:
Menepuk dua tapak tangan pada debu kali pertama untuk menyapu muka
Berniat : 
“Sahaja  aku  bertayammum  kerana  mengharuskan fardu  sembahyang  kerana  Allah  Ta’ala .”
Masa  niat : Ketika  mula  memindahkan  debu  dan sehingga  menyentuh  sebahagian  muka.
Menyapu  muka.
Selesai menyapu muka.    
Menepuk  dua  tangan  ke debu  pada  kali  kedua  untuk  menyapu  tangan .(Sebelum  menepuk  kedua  tapak  tangan  kali  kedua,  hendaklah  dibersihkan  kedua  tapak tangan  terlebih dahulu)  
  Menyapu  tangan  kanan  dari  belakang  
      tangan  kiri  dari  hujung  jari (selain  ibu  jari) 
      hingga  naik  ke  siku.
 Menyapu  tangan  kanan  dari  siku  hingga  ke hujung  ibu  jari.
Menyapu tangan kiri dari belakang tapak
(selain ibu jari) dari hujung jari hingga ke siku.
Menyapu  tangan  kiri  dari  siku  hingga  ke hujung  ibu  jari.
Catatan:
·         Untuk  menyapu  tangan , wajib  ditanggalkan  cincin ,  jam tangan  dan  gelang sekiranya  debu  tidak  sampai  di bawahnya. Jika  sampai  debu ,maka  sunat  sahaja menanggalkannya.
·         Sunat  menipiskan  debu  tanah  pada  tapak  tangan  sebelum  disapukan ke anggota  tayammum
Perkara-perkara sunat semasa bertayammum.
- · Membaca بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَـٰنِ الرَّحِيمِ ketika mula menepuk.
 - · Menyapu muka dari atas ke bawah.
 - · Mendahulukan menyapu tangan kanan dari kiri.
 - · Menipiskan penggunaan debu seperti dengan cara menepuk dua tepi tangannya.
 - · Menjarangkan anak jari ketika menepuk debu.
 - · Menyelati anak-anak jari jika debu telah mengenai di antara anak-anak jarinya. Jika tidak mengenai debu di antaranya wajiblah diselati.
 - · Jangan diangkatkan tangan ketika menyapu kecuali telah sempurna menyapunya.
 - · Mengadap kiblat.
 - · Melebihi sapuan daripada bahagian yang wajib disapunya.
 - · Sunat menanggalkan cincin yang dipakai bagi tepukan yang pertama.
 - · Membaca doa wudu’ setelah selesai tayammum.
 - · Tidak menyapu lebih daripada sekali.
 - · Menghilangkan saki baki debu tanah yang disapu pada anggota tayammum pada telapak tangan.
 - · Melakukannya dengan berturut-turut.
 
Perkara-perkara yang membatalkan tayammum.
- Apabila berlaku salah satu perkara yang membatalkan wudu’.
 - Air diperolehi sebelum memulakan sembahyang bagi mereka yang bertayammum kerana ketiadaan air.
 - Hilangnya merbahaya kerana sakit atau sebagainya.
 - Keluar dari agama Islam (murtad).
 
Hikmah  disyariatkan  bertayamum.
- Menghilangkan kepayahan dan kesulitan.
 
Firman  Allah  S.W.T.:
“Allah  sama  sekali  tidak  ingin  menjadikan  sebarang  kesulitan  bagi  kamu  (dalam  mengamalkan  agama).”    (surah  al-Ma’idah,  ayat  6)
Ibn  Jarir  at-Thabari  r.h.  berkata:
“Maksud  ayat  diatas  ialah  Allah tidak  ingin  menyusahkan  kamu  terhadap  kewajiban  berwudu’  setiap  kali  kamu  ingin solat  dan  mandi  junub  setiap  kali  kamu  berjunub.  Tayammum  menggunakan  debu  tanah  yang  suci  ketika  kamu  tidak  mendapati  air  supaya  tidak  menyusahkan  kamu,  sentiasa  beristiqamah  mengamalkan  syariat  agama  walaupun  dalam  kesempitan supaya  kamu  tidak  sentiasa  berada  dalam kepayahan.”   (rujuk Jami’ al-Bayan, jil.  10, m/s 84-85)
- Menyucikan jiwa manusia.
 
Firman  Allah  S.W.T.:
“Tetapi  Allah  ingin  menyucikan  diri  kamu.” (surah  al-Ma’idah,  ayat 6)
            Ibn  Jarir  at-Thabari  r.h.  berkata:
“maksud  ayat  Allah  ingi  menyucikan  diri  kamu  ialah  dengan  cara  mewajibkan  kamu  berwudu’  dariapad  hadas,  mandi ketika  berjunub  dan  bertayammum  ketika  ketiadaan  air.  Melalui  cara  itu,  ia  mampu  membersih  dan  menyucikan  diri  kamu  daripada  segala  dosa.” (rujuk Jami’  al-Bayan,     jil. 10, m/s.85)
- Sempurnakan nikmat.
 
Firman Allah S.W.T.:
“untuk  menyempurnakan  nikmat_Nya  ke  atas  kamu  supaa  kamu  bersyukur.” (surah  al-Ma’idah,  ayat  6)
            Ibn  Jarir  at-Thabari  r.h.  berkata:
“maksud  ayat  untuk  menyempurnakan  nikmat-Nya  ke  atas  kamu  ialah  (nikmat) kebolehan  bertayammum  bagi  kamu  dan  menjadikan  debu  tanah  yang  suci  sebagai  alat  betsuci.  Semua  itu  sebagai  keringanan  bagi  kamu  di samping  nikmat-nikmat-Nya  yang  lain  dianugerahkan  kepada  kamu  wahai  orang-orang yang beriman.” (rujuk Jami’ al-Bayan, jil  10. m/s. 9)
Al-Qurtubi  r.h.  berkata: 
“keringanan  yang  diberikan  kepada  kamu  untuuk  bertayammum ialah  ketika  sakit  dan  musafir.” (rujuk  Jami’  Li Ahkam al-Quran, Jil  6, m/s.  108)
Kesimpulan
Melalui  penjelasan  yang  telah dinyatakan di dalam  kerja kursus  ini,  dapatlah difahami  bahawa  amalan  tayammum  merupakan  antara  Ibadat  yang  penting sepertimana  juga  ibadat-ibadat  lain  yang  menjadi  kefardhuan  kepada  umat  Islam. Ini  adalah  kerana  Allah S.W.T  telah  menggariskan  mengenai  syariat  bertayammum  di dalam  al-Quran  dan  Hadis  dengan  sejelas-jelasnya  yang  mana  ia  sebagai  suatu  kemudahan  bagi  umatNya  dalam  melaksanakan  perintahNya.  Ini seterusnya  membuktikan  kasih sayang  yang  ditunjukkan  oleh  Allah  S.W.T  kepada hambaNya  yang  beriman  dan  beramal  soleh.


