Pengenalan tayamum.
Tayammum adalah merupakan salah satu nikmat yang paling besar yang dianugerahkan kepada umat Muhammad S.A.W.:
“Aku diberi lima kelebihan yang tidak pernah diberikan kepada seorang pun sebelumku. Aku diberikan pertolongan dimana musuh berasa gentar (takut ) sebulan sebelum peperangan, seluruh muka bumi dijadikan bagiku sebagai masjid dan alat untuk bersuci. Oleh itu, mana-mana umatku yang menepati waktu solat telah masuk, dia boleh terus solat disitu…(hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Definisi tayammum / pengertian tayammum:
Tayammum ialah suatu kemudahan yang diberikan oleh Allah S.W.T. kepada umat Islam untuk dilakukan semasa menghadapi keadaan yang menghalang daripada berwudu’ atau mandi wajib disebabkan ketiadaan air atau kerana sakit bagi mengharuskan melakukan ibadah dengan menggunakan tanah atau debu yang bersih.
Tayammum dari segi bahasa ialah al-qasdu القصد (sengaja).
Tayammum dari segi syara’ pula ialah menyapu muka dan kedua belah tangan meliputi siku dengan debu tanah yang bersih mengikut syarat-syarat yang tertentu. Ia difardukan sebagai ganti wudu’ atau mandi wajib.
Bahan-bahan tayammum.
Antara bahan yang dapat digunakan sebagai alat bertayammum ialah seluruh permukaan bumi yang bersih dan baik sama ada pasir, batu-batuan, tanah dan sebagainya. Hal ini telah dinyatakan dalam Hadis riwayat Ahmad no. 22190, dinyatakan shohih lighoirihi oleh Syeikh Syu’aib Al Arnauth dalam Ta’liq beliau untuk Musnad Imam Ahmad, terbitan Muasa’sah Qurthubah, Kairo, Mesir iaitu :
Dari Hudzaifah Ibnul Yaman
جُعِلَتِ الأَرْضُ كُلُّهَا لِى وَلأُمَّتِى مَسْجِداً وَطَهُوراً
“Dijadikan (permukaan.) bumi seluruhnya bagiku (Nabi Muhammad) dan ummatku sebagai tempat untuk sujud dan sesuatu yang digunakan untuk bersuci”.
Debu tanah yang bersih ialah:
- · Tanah dalam pelbagai warna seperti merah atau hitam. Sekiranya bercampur pasir mesti mengandungi kandungan debu.
- · Tidak dikategorikan sebagai abu.
- · Suci dan tidak bernajis.
- · Tidak musta’mal.
- · Tidak bercampur tepung atau kapur atau pasir yang tidak berdebu. Tidak boleh bertayammum dengan menepuk meja atau dinding kerana tidak mengandungi debu tanah.
Dalil-dalil mengenai tayammum:
Dalil dari Al-Quran.
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا قُمْتُمْ إِلَى الصَّلَاةِ فَاغْسِلُوا وُجُوهَكُمْ وَأَيْدِيَكُمْ إِلَى الْمَرَافِقِ وَامْسَحُوا بِرُءُوسِكُمْ وَأَرْجُلَكُمْ إِلَى الْكَعْبَيْنِ ۚ وَإِن كُنتُمْ جُنُبًا فَاطَّهَّرُوا ۚ وَإِن كُنتُم مَّرْضَىٰ أَوْ عَلَىٰ سَفَرٍ أَوْ جَاءَ أَحَدٌ مِّنكُم مِّنَ الْغَائِطِ أَوْ لَامَسْتُمُ النِّسَاءَ فَلَمْ تَجِدُوا مَاءً فَتَيَمَّمُوا صَعِيدًا طَيِّبًا فَامْسَحُوا بِوُجُوهِكُمْ وَأَيْدِيكُم مِّنْهُ ۚ مَا يُرِيدُ اللَّهُ لِيَجْعَلَ عَلَيْكُم مِّنْ حَرَجٍ وَلَـٰكِن يُرِيدُ لِيُطَهِّرَكُمْ وَلِيُتِمَّ نِعْمَتَهُ عَلَيْكُمْ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ ﴿٦﴾
Maksud : “Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan sembahyang (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku dan sapulah sebahagian dari kepala kamu dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali dan jika kamu berjunub (berhadas besar) maka bersucilah dengan mandi wajib dan jika kamu sakit (tidak boleh kena air) atau dalam pelayaran atau salah seorang dari kamu datang dari tempat buang air atau kamu sentuh perempuan, sedang kamu tidak mendapat air (untuk berwuduk dan mandi), maka hendaklah kamu bertayamum dengan tanah (debu) yang bersih, iaitu: Sapulah muka kamu dan kedua belah tangan kamu dengan tanah debu itu. Allah tidak mahu menjadikan kamu menanggung sesuatu kesusahan (kepayahan), tetapi Dia berkehendak membersihkan (mensucikan) kamu dan hendak menyempurnakan nikmatNya kepada kamu, supaya kamu bersyukur”. (Surah Al-Maidah, ayat 6)
Dalil dari Hadis.
· Maksud Hadis :
Dari Huzaifah r.a, katanya : Rasulullah S.A.W bersabda: …..dan (di antara keistimewaan yang diberikan Allah Taala kepada kami ialah) dijadikan bumi ini seluruhnya sebagai tempat sembahyang untuk kami, dan tanahnya pula dijadikan untuk kami sebagai alat untuk bersuci apabila kami tidak mendapat air. ( Riwayat Muslim )
· Maksud hadis
Imran bin Husin r.a berkata: “Kami telah musafir bersama Rasulullah S.A.W. baginda telah mengimani solat. Setelah selesai solat, baginda melihat seorang lelaki tidak solat bersama. Lalu baginda bertanya: apakah yang menghalangmu daripada solat bersamaku? Jawabnya: aku sedang berjunub dan tidak menemui air. Baginda bersabda: gunalah debu tanah, iaitu bertayammum. Ia sudah memadai bagimu.”(hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
· Maksud hadis
‘Amr bin Syu’aib r.a berkata, ayahnya pernah mendengar daripada datuknya bahawa Rasulullah S.A.W pernah bersabda: “bumi ini dijadikan sebagai masjid (tempat solat) dan alat untuk bersuci jika tiada air. Oleh itu, dimana saja aku mendapati waktu solat telah masuk, aku akan menyapu (bertayammum) dan terus solat.” (hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
· Maksud hadis:
Ammar r.a berkata: “suatu ketika, aku telah berjunub. Kemudian, aku tidak menemui air lalu aku berguling di atas tanah. Seterusnya aku menunaikan solat. Lalu baginda bersabda: sebenarnya, memadai engkau hanya melakukan bigini lalu baginda menepk tanah dengan kedua-dua belah tapak tangannya serta meniup kedua-duanya. Kemudian, baginda menyapu muka dan tapak tangan hingga ke pergelangan dengan debu itu.” (hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Sebab-sebab diharuskan tayammum:
- Apabila tiada air atau ada air tetapi hanya mencukupi untuk keperluan makan dan minum.
- Tidak dapat menggunakan air disebabkan penyakit yang dihidapi atau merbahaya bila dikenakan air.
- Apabila penggunaan air boleh membahayakan kesihatan dan nyawa
- Khuatir akan kehabisan waktu solat ketika mencari air.
Syarat-syarat sah bertayammum:
- Menghilangkan najis terlebih dahulu.
- Tanah debu yang suci
- Bukan dari debu tanah yang musta’mal (yang telah digunakan).
- Ada qasad / niat penggunaan tanah.
- Menyapu muka dan dua tangan hingga ke siku dengan dua kali tepuk. Tepukan pertama bagi muka dan tepukan kedua bagi tangan.
- Pastikan terlebih dahulu arah kiblat
- Bertayammum apabila telah masuk waktu solat sahaja. Tayammum hendaklah dilakukan setelah masuk waktu sembahyang dengan yakin kerana tayammum dianggap darurat
- Satu tayammum bagi satu solat fardu dan beberapa solat sunat.
Rukun-rukun tayammum:
- Berniat ketika memindahkan debu sehingga menyentuh sebahagian muka. Niatnya ialah seperti berikut:
“Sahaja aku bertayammum kerana mengharuskan fardu sembahyang kerana Allah Ta’ala.”
- Menyapu muka.
- Menyapu tangan
- Tertib.
Cara-cara bertayammum:
Menepuk dua tapak tangan pada debu kali pertama untuk menyapu muka
Berniat :
“Sahaja aku bertayammum kerana mengharuskan fardu sembahyang kerana Allah Ta’ala .”
Masa niat : Ketika mula memindahkan debu dan sehingga menyentuh sebahagian muka.
Menyapu muka.
Selesai menyapu muka.
Menepuk dua tangan ke debu pada kali kedua untuk menyapu tangan .(Sebelum menepuk kedua tapak tangan kali kedua, hendaklah dibersihkan kedua tapak tangan terlebih dahulu)
Menyapu tangan kanan dari belakang
tangan kiri dari hujung jari (selain ibu jari)
hingga naik ke siku.
Menyapu tangan kanan dari siku hingga ke hujung ibu jari.
Menyapu tangan kiri dari belakang tapak
(selain ibu jari) dari hujung jari hingga ke siku.
Menyapu tangan kiri dari siku hingga ke hujung ibu jari.
Catatan:
· Untuk menyapu tangan , wajib ditanggalkan cincin , jam tangan dan gelang sekiranya debu tidak sampai di bawahnya. Jika sampai debu ,maka sunat sahaja menanggalkannya.
· Sunat menipiskan debu tanah pada tapak tangan sebelum disapukan ke anggota tayammum
Perkara-perkara sunat semasa bertayammum.
- · Membaca بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَـٰنِ الرَّحِيمِ ketika mula menepuk.
- · Menyapu muka dari atas ke bawah.
- · Mendahulukan menyapu tangan kanan dari kiri.
- · Menipiskan penggunaan debu seperti dengan cara menepuk dua tepi tangannya.
- · Menjarangkan anak jari ketika menepuk debu.
- · Menyelati anak-anak jari jika debu telah mengenai di antara anak-anak jarinya. Jika tidak mengenai debu di antaranya wajiblah diselati.
- · Jangan diangkatkan tangan ketika menyapu kecuali telah sempurna menyapunya.
- · Mengadap kiblat.
- · Melebihi sapuan daripada bahagian yang wajib disapunya.
- · Sunat menanggalkan cincin yang dipakai bagi tepukan yang pertama.
- · Membaca doa wudu’ setelah selesai tayammum.
- · Tidak menyapu lebih daripada sekali.
- · Menghilangkan saki baki debu tanah yang disapu pada anggota tayammum pada telapak tangan.
- · Melakukannya dengan berturut-turut.
Perkara-perkara yang membatalkan tayammum.
- Apabila berlaku salah satu perkara yang membatalkan wudu’.
- Air diperolehi sebelum memulakan sembahyang bagi mereka yang bertayammum kerana ketiadaan air.
- Hilangnya merbahaya kerana sakit atau sebagainya.
- Keluar dari agama Islam (murtad).
Hikmah disyariatkan bertayamum.
- Menghilangkan kepayahan dan kesulitan.
Firman Allah S.W.T.:
“Allah sama sekali tidak ingin menjadikan sebarang kesulitan bagi kamu (dalam mengamalkan agama).” (surah al-Ma’idah, ayat 6)
Ibn Jarir at-Thabari r.h. berkata:
“Maksud ayat diatas ialah Allah tidak ingin menyusahkan kamu terhadap kewajiban berwudu’ setiap kali kamu ingin solat dan mandi junub setiap kali kamu berjunub. Tayammum menggunakan debu tanah yang suci ketika kamu tidak mendapati air supaya tidak menyusahkan kamu, sentiasa beristiqamah mengamalkan syariat agama walaupun dalam kesempitan supaya kamu tidak sentiasa berada dalam kepayahan.” (rujuk Jami’ al-Bayan, jil. 10, m/s 84-85)
- Menyucikan jiwa manusia.
Firman Allah S.W.T.:
“Tetapi Allah ingin menyucikan diri kamu.” (surah al-Ma’idah, ayat 6)
Ibn Jarir at-Thabari r.h. berkata:
“maksud ayat Allah ingi menyucikan diri kamu ialah dengan cara mewajibkan kamu berwudu’ dariapad hadas, mandi ketika berjunub dan bertayammum ketika ketiadaan air. Melalui cara itu, ia mampu membersih dan menyucikan diri kamu daripada segala dosa.” (rujuk Jami’ al-Bayan, jil. 10, m/s.85)
- Sempurnakan nikmat.
Firman Allah S.W.T.:
“untuk menyempurnakan nikmat_Nya ke atas kamu supaa kamu bersyukur.” (surah al-Ma’idah, ayat 6)
Ibn Jarir at-Thabari r.h. berkata:
“maksud ayat untuk menyempurnakan nikmat-Nya ke atas kamu ialah (nikmat) kebolehan bertayammum bagi kamu dan menjadikan debu tanah yang suci sebagai alat betsuci. Semua itu sebagai keringanan bagi kamu di samping nikmat-nikmat-Nya yang lain dianugerahkan kepada kamu wahai orang-orang yang beriman.” (rujuk Jami’ al-Bayan, jil 10. m/s. 9)
Al-Qurtubi r.h. berkata:
“keringanan yang diberikan kepada kamu untuuk bertayammum ialah ketika sakit dan musafir.” (rujuk Jami’ Li Ahkam al-Quran, Jil 6, m/s. 108)
Kesimpulan
Melalui penjelasan yang telah dinyatakan di dalam kerja kursus ini, dapatlah difahami bahawa amalan tayammum merupakan antara Ibadat yang penting sepertimana juga ibadat-ibadat lain yang menjadi kefardhuan kepada umat Islam. Ini adalah kerana Allah S.W.T telah menggariskan mengenai syariat bertayammum di dalam al-Quran dan Hadis dengan sejelas-jelasnya yang mana ia sebagai suatu kemudahan bagi umatNya dalam melaksanakan perintahNya. Ini seterusnya membuktikan kasih sayang yang ditunjukkan oleh Allah S.W.T kepada hambaNya yang beriman dan beramal soleh.